KOTA KINABALU – Parti Bersatu Sabah (PBS) memilih untuk menyokong penyelesaian muktamad kepada pelantikan Perdana Menteri baharu bagi mengelakkan ketidakstabilan politik dan ekonomi.
Presiden PBS, Datuk Maximus Ongkili dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya bersyukur kerana kemelut politik yang melanda negara sebelum ini sudah berakhir.
“Kami bersyukur kepada Tuhan kerana kekacauan politik bakal berakhir tidak lama lagi. Mengambil kira segala tuntutan perundangan dan prosedur adalah sah, kami ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“PBS tetap mesra kepada kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri kelapan dan menyokong semua inisiatif positif, dasar dan program yang akan memberi manfaat kepada Malaysia terutamanya untuk rakyat Sabah.
“Kami berharap supaya Muhyiddin dapat membantu menyelesaikan masalah yang melanda negeri Sabah terutamanya berkenaan isu pendatang tanpa izin dan pemulihan hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).
“PBS akan memberikan sokongan yang sepenuhnya kepimpinan beliau,” katanya.
Beliau dalam kenyataan hari ini juga berkata pihaknya memilih untuk kekal neutral dalam tempoh kemelut politik itu berlangsung.
“Kami di PBS memilih untuk menyokong penyelesaian muktamad kepada pelantikan perdana menteri yang baharu bagi mengelakkan ketidakstabilan politik dan ekonomi.
“Dalam keadaan kucar-kacir berkaitan pemilihan Perdana Menteri kelapan, sebagai ahli parlimen dan Presiden PBS, saya memutuskan untuk bersama-sama dengan ahli parlimen yang bersependapat dengan kami (dalam PBS) terutamanya MP dari Sabah dan Sarawak untuk menyokong Tun Mahathir Mohamad bagi jawatan itu atas sebab kestabilan politik dan penyelesaian yang kompromi untuk perpaduan,” katanya.
Bagaimanapun, Maximus berkata PBS memutuskan untuk berkecuali dari pengundian dan tidak menandatangani SD baharu, justeru deklarasi terdahulu yang berpihak kepada Tun Mahathir diambil kira sebagai sah.
“Kami yakin bahawa PBS harus mendahulukan kepentingan negara dan Sabah terutama sekali dalam perjuangan politik berbilang kaum berbanding masuk campur kemelut dan perebutan kuasa politik.
“Kami percaya bahawa kuasa sebenar adalah dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat,” katanya. – BH Online