KUALA LUMPUR – Satu lagi kematian akibat COVID-19 dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia sehingga kini akibat wabak itu di Malaysia adalah 11 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.
Menerusi catatan laman Facebook rasmi beliau, kes kematian ke-11 itu (kes ke-1070) merupakan seorang warganegara Malaysia berusia 70 tahun, dengan latar belakang penyakit kronik.
“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada bulan Februari 2020. KKM (Kementerian Kesihatan) juga dimaklumkan bahawa beliau merupakan pengerusi surau kawasan setempat beliau.
“Beliau telah mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada 18 Mac 2020,” katanya.
Menurutnya lagi, mangsa telah disahkan positif COVID-19 pada 19 Mac 2020 dan diberi bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Kesihatannya merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 22 Mac 2020 jam 9.05 malam.
“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pesakit,” katanya.