KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan menubuhkan sekretariat membabitkan semua setiausaha agung parti dalam pakatan itu bagi merangka pelan dan menyelaras hala tuju gabungan terbabit.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata semua setiausaha agung parti parti gabungan PN sudah menerima arahan daripada kepemimpinan parti masing-masing bagi merealisasikan perkara itu.
Katanya, sekretariat terbabit akan bermesyuarat seminggu sekali bagi membincangkan perkara berkaitan gabungan selain membantu memperkukuhkan jentera kerajaan.
“Saya sendiri sudah mendapat arahan tertentu daripada pimpinan parti supaya menyegerakan urusan (menubuhkan sekretariat) itu bagi menyediakan ‘roadmap’ PN dan sebagainya.
“Sebelum ini pun sudah ada pertemuan tidak rasmi dalam kalangan setiausaha agung. PN lahir pun tanpa dirancang dan tidak dijangka, tiada logo, tiada struktur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat tertutup bersama rombongan MCA diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon di Menara Dato Onn di sini, hari ini.
Ditanya sama ada sekretariat itu turut membabitkan setiausaha agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Annuar berkata, beliau difahamkan parti itu memerlukan sedikit masa bagi menyelesaikan masalah dalaman dihadapi mereka.
“Saya difahamkan, ada timbul sikit persoalan mengenai siapa setiausaha agung mereka. Itu masalah dalaman mereka dan kami berharap BERSATU akan selesaikan masalah itu secepat mungkin kerana (peranan) setiausaha agung itu sangat penting,” katanya.
Mengulas mengenai pelantikan jemaah menteri dalam kerajaan baharu, Annuar menegaskan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus diberi kebebasan sepenuhnya.
“Saya berpendapat Perdana Menteri perlu diberi kebebasan untuk melantik siapa yang beliau kehendaki dalam Kabinetnya kerana kita memiliki ramai individu yang berkelayakan.
“Perdana Menteri ada 222 Ahli Parlimen tidak termasuk Ahli Dewan Negara yang boleh dipilih untuk dilantik sebagai anggota jemaah menteri,” katanya. – BH Online