KUALA LUMPUR – Polis sudah mengenalpasti baki 4,000 peserta perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, dekat sini, yang masih belum menjalani saringan COVID-19 dengan sebahagian mereka dikhuatiri cuba menyorokkan tahap kesihatan masing-masing.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan menyembunyikan sakit yang dialami daripada pihak berkuasa kesihatan adalah satu kesalahan mengikut undang-undang.
“Ada pihak tahu mereka sakit, tapi tidak melaporkan (kepada klinik, hospital). Ini satu kesalahan di bawah undang-undang. Polis boleh ambil tindakan untuk tahan mereka jika perkara ini dilakukan termasuklah kumpulan tabligh.
“Ada 4,000 (jemaah) tabligh tidak datang secara sukarela ke hospital dan kilik. Polis sudah mengenalpasti individu ini. Saya harap mereka tampil secara sukarela buat pemeriksaan, jangan sampai polis ke rumah untuk (mereka) dibawa ke klinik.
“Apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk kebaikan diri sendiri supaya memeriksa kesihatan di klinik dan (keselamatan) masyarakat sekitar,” katanya pada sidang media, hari ini.
Program ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling berlangsung pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu. – BH Online