PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan prosiding komital bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam yang dijadualkan minggu depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditangguhkan sementara menunggu rayuannya selesai.
Panel 3 hakim yang terdiri daripada Yaacob Md Sam, Rhodzariah Bujang dan Hanipah Farikullah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Lokman.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar yang hadir bagi pihak bekas peguam negara, Tommy Thomas tidak membantah permohonan itu.
Yaacob yang mengetuai panel itu turut menetapkan 31 Mac ini untuk mendengar rayuan Lokman bagi mengetepikan kebenaran yang diperolehi Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadapnya.
Hakim itu berkata, mereka lebih suka mendengar hujah kedua-dua pihak pada masa sama.
Terdahulu, Shafee mencadangkan beliau memulakan hujahnya berhubung aspek pengenalan kes hari ini dan ia ditangguhkan ke tarikh lain bagi membolehkan pendakwaan mengemukakan hujahnya.
Katanya, beliau mendapat alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah pada 2 Mac lalu dan memfailkan petisyen rayuan pada hari berikutnya.
Shafee berkata, salinan petisyen itu diserahkan kepada pendakwaan pada hari sama dan beliau percaya mereka memerlukan masa untuk menjawab.
Perkara itu disahkan Dusuki yang kemudian memaklumkan mahkamah, beliau memerlukan masa untuk menjawab, tetapi tidak membantah cadangan Shafee untuk memulakan hujahnya hari ini.
Pada 14 Januari lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran yang diperolehi Thomas bagi memulakan prosiding komital terhadapnya kerana didakwa mengugut seorang saksi dalam kes 1MDB membabitkan Najib Razak.
Pada 22 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada peguam negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana menghina mahkamah dengan melakukan perbuatan itu sebanyak 2 kali pada 25 September 2019.
Mahkamah Tinggi kemudian menetapkan 13 Mac untuk mendengar prosiding komital itu.
Dalam permohonan itu, Thomas meminta mahkamah memenjarakan atau mendenda Lokman kerana melakukan perbuatan tersebut.