KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah akan menyiasat isu barang keperluan yang diagihkan di daerah di negeri ini yang tidak sampai nilai RM100.
Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy dalam satu kenyataan semalam berkata pihaknya ada menerima maklumat itu dan satu pasukan khas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan.
“Pasukan petugas ini bertujuan memantau perolehan dan pengagihan bantuan makanan tersebut seperti mana yang telah dilaporkan.
“Pemantauan dan siasatan ke atas isu ini sedang giat dijalankan oleh SPRM Sabah,” katanya.
Beliau berkata SPRM akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah dalam memastikan bantuan berkenaan dapat disalurkan kepada orang ramai tanpa sebarang ketirisan.
Terdahulu, satu paparan dan mesej yang tular di laman media sosial mengenai agihan barangan bantuan makanan untuk golongan terjejas di Sabah tidak sampai nilainya RM100.
Paparan dan mesej berkenaan disertakan dengan gambar barangan makanan asas yang diagihkan serta senarai barang dan harga keseluruhan agihan barangan terbabit. – BH Online