KUALA LUMPUR – Tiada sebarang mesyuarat atau perjumpaan dijadualkan di antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pemimpin-pemimpin politik hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, memaklumkan hari ini Perdana Menteri dijadualkan bertemu Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan ketua-ketua jabatan serta agensi kerajaan bagi menyelaraskan perjalanan pentadbiran kerajaan.
“Pejabat Perdana Menteri ingin menjelaskan bahawa tiada mesyuarat atau sebarang perjumpaan dengan pemimpin politik dijadualkan hari ini,” katanya kenyataan berkenaan.
Muhyiddin memulakan tugas rasmi Perdana Menteri pagi ini, tiba di Bangunan Perdana Putra pada jam 7.55 pagi, disambut Ketua Setiausaha Negara.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang tiba dan memasuki bangunan pentadbiran itu.
Sebelum memasuki pejabat, Muhyiddin mengimbas kad perakam waktu dan mengaminkan bacaan doa, kemudian menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas.
Pada tengah hari tadi, Perdana Menteri ke Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 1 di Pagoh, Joho rbagi menziarahi pusara ayahanda, bonda dan keluarganya.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, petang Sabtu berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Semalam, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan di Istana Negara dan memulakan tugas secara rasmi di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada jam 7.55 pagi tadi.