PUTRAJAYA – Latheefa Koya mengesahkan telah menghantar surat bagi melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam kenyataannya Latheefa berkata, surat berkenaan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
“Saya serahkan kepada Muhyiddin untuk menyampaikan hasrat meletakkan jawatan, bagaimanapun ia tertakluk kepada kelulusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya.
Menurutnya, dalam pertemuan itu, beliau turut memberi taklimat mengenai tindakan dan usaha SPRM untuk membawa pulang wang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diseleweng di luar negara.
“Beliau menyokong penuh tindakan ini,” katanya.
Beliau berkata, beberapa pertemuan turut diadakan dengan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki serta beberapa pengarah lain bagi memastikan penyerahan tugas berjalan lancar.
“Ia adalah amalan biasa di SPRM,” katanya.
Dalam pada itu, Latheefa, 47, menolak spekulasi bahawa wujud tekanan terhadapnya bagi melepaskan jawatan itu.
“Ia adalah keputusan saya sendiri. Hasrat saya adalah untuk kembali bertugas sebagai peguam bela,” katanya.
Sementara itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pegawai SPRM serta rakyat yang memberi sokongan kepadanya.
“Saya yakin SPRM tidak akan berkompromi dan berupaya memerangi rasuah, tanpa mengira kedudukan atau kesetiaan politik para pelaku,” katanya.
Semalam, khabar angin Latheefa melepaskan jawatannya bertiup kencang apabila sumber memaklumkan beliau bertemu dengan Muhyiddin pada sebelah pagi sebelum ke mahkamah sebagai saksi ke-13 pembelaan bagi kes perbicaraan penyelewengan dana SRC International membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Latheefa dilantik memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Pelantikan Latheefa adalah selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong. – Sinar Harian