BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan pada 28 Februari lalu susulan perubahan ‘pemerintahan politik’.
Bercakap kepada portal berita FMT, beliau mengakui penggal pentadbirannya sepatut berakhir Jun depan, namun percaturan untuk mengundurkan diri adalah selari dengan status jawatannya yang dibuat secara lantikan politik.
“Jawatan sebagai AG (Peguam Negara) adalah menerusi lantikan politik yang dilakukan oleh (Tun) Dr. Mahathir Mohamad.
“Apabila Perdana Menteri meletakkan jawatan, saya juga tertakluk untuk berbuat demikian kerana dilantik oleh beliau, malah ia penting untuk memberi laluan kepada Perdana Menteri yang baharu memilih calon baharu bagi menyandang tugas Peguam Negara,” katanya, hari ini.
Thomas yang dilantik menyandang jawatan Peguam Negara pada 4 Jun 2018 bagi tempoh dua tahun menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Dr. Mahathir, 28 Februari lalu.
Meskipun dihujani persoalan mengenai keputusan meletakkan jawatan secara tiba-tiba, Thomas berkata, pendekatan itu selari amalan di United Kingdom dan pelbagai negara lain yang mengamalkan dasar demokrasi matang.
Ditanya perancangan masa depan, beliau bercadang untuk berehat buat sementara waktu selepas menyandang jawatan sebagai Peguam Negara lebih setahun, namun menyifatkan pengalaman singkat itu sebagai peluang berkhidmat kepada negara dan akan sentiasa dikenang.
“Saya sudah cuba sebaik mungkin untuk menegakkan keadilan dan memerangi ketidakadilan sehingga hari terakhir menggalas tanggungjawab sebagai Peguam Negara.
“Saya amat berterima kasih kerana diberi peluang untuk berkhidmat,” katanya. – myMetro Online