SEBANYAK 114 operasi sanitasi awam dilakukan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), meliputi 43 zon di 12 negeri, semalam.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi itu membabitkan 75 bangunan kerajaan, tempat awam (36), pusat perniagaan (76) dan pasar raya (9).
“Selain itu, sebanyak sembilan kawasan guna sama skim strata kos rendah dan sederhana rendah zon merah di Selangor disanitasi semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 26 kawasan selesai disanitasi.
“Semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) di zon merah dan zon kuning di seluruh negara juga selesai disanitasi, yang membabitkan 37,686 unit rumah,” katanya katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri berkenaan pelaksanaan PKP di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, jumlah operasi keseluruhan sanitasi awam dilakukan sejak 30 Mac lalu adalah 1,527 di 89 zon termasuk 26 zon merah.
Katanya, antara kawasan disanitasi adalah 1,062 bangunan kerajaan, tempat awam (638), pusat perniagaan (675) dan pasar raya (124). – myMetro Online