TAHUN ini kita sambut Hari Pekerja dalam suasana yang cukup berbeza apabila dunia dicengkam dengan ancaman wabak Covid-19.
Wabak ini bukan saja menjejaskan kesihatan dan nyawa, namun turut memberikan impak langsung kepada hampir semua jenis sektor pekerjaan termasuk di negara kita.
Jelas sekali, pekerja sedang berhadapan dengan cabaran yang begitu besar dalam era wabak Covid-19 ini.
Hakikatnya, tarikh 1 Mei diisytiharkan sebagai hari cuti umum di negara kita sebagai pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada seluruh warga pekerja sama ada pekerja awam mahupun swasta.
Kebiasaanya sambutan Hari Pekerja akan dimeriahkan dengan perhimpunan dan perarakan secara besar-besaran daripada pelbagai golongan pekerja mewakili organisasi masing-masing.
Anda peniaga? Mencari platform pengiklanan Online? Mula dengan kami ..Website Mynewshub, FB (2.96 juta followers), Instagram dan Twitter. Hubungi kami http://www.wasap.my/60176070516
Namun, tahun ini kita tidak dapat mengadakan sebarang perhimpunan seperti itu, malah kedudukan pekerja juga kelihatan begitu tergugat, tercabar dan membimbangkan angkara Covid-19.
Antara cabaran utama pekerja dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ancaman wabak Covid-19 ialah hilang pekerjaan atau diberhentikan kerja, tiada gaji atau putus pendapatan dan perlu membiasakan budaya bekerja dari rumah.
Cabaran yang paling ditakuti oleh pekerja sekarang ialah tindakan drastik majikan yang terpaksa memberhentikan pekerja demi mengurangkan kerugian mereka.
Di samping majikan yang lain pula tidak dapat membayar gaji kerana operasi premis terpaksa ditutup.
Akibatnya pekerja hilang pekerjaan, terputus pendapatan secara total serta ramai juga yang nasibnya umpama telur di hujung tanduk.
Pekerja di sektor perkilangan atau industri, pembinaan, perkhidmatan serta yang bekerja gaji hari adalah antara golongan yang sedang menerima nasib malang ini. Walaupun ada beberapa sektor berkenaan dibenarkan beroperasi, namun peluang perniagaan yang terhad dan menguncup menyebabkan majikan terpaksa memikirkan opsyen untuk mengurangkan kos operasi.
Mujur kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif seperti Program Subsidi Upah (PSU) antara RM600 ke RM1,200 untuk menggalakkan majikan mengekalkan pekerja berpendapatan RM4,000 ke bawah, jika tidak bilangan pekerja yang diberhentikan pasti akan terus meningkat drastik.
Harus diingat golongan pekerja yang menerima nasib malang ini adalah daripada kategori berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) dan mereka ini putus pendapatan secara total.
Justeru, kehidupan mereka pada hari ini dilihat cukup genting dan mencemaskan.
Hal ini demikian kerana golongan itu kebiasaannya tidak mempunyai tabung simpanan kecemasan kerana kehidupan mereka selama ini umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.
Maka apa pilihan yang mereka ada untuk menampung perbelanjaan diri dan keluarga?
Mujurlah ada bantuan wang tunai daripada kerajaan untuk menampung keperluan semasa mereka.
Namun, kedudukan masa depan mereka terus kabur dan berada dalam teka-teki yang membimbangkan dan cabaran terbesar mereka ialah terpaksa mencari peluang pekerjaan yang lain selepas PKP ini tamat dan ia bukan kerja mudah.
Jujurnya, kadar pengangguran dijangka naik mendadak selepas wabak ini berakhir.
Satu lagi cabaran besar kepada pekerja pada ketika ini ialah terpaksa bekerja dari rumah.
Ironinya, konsep bekerja dari rumah masih dianggap sesuatu yang baru di negara kita, ia belum menjadi budaya dalam kalangan majikan dan juga pekerja di negara ini.
Jadi, apabila secara tiba-tiba kita diminta untuk membuat kerja dari rumah maka masing-masing mula cemas dan baru hendak menyesuaikan diri dengan budaya itu.
Kita perlu jelas betapa bukan semua jenis kerja boleh dibuat dari rumah. Misalnya, pekerja sektor perkilangan dan pembuatan sudah semestinya tidak boleh buat apa-apa dari rumah.
Mereka perlu berada di kilang dan di hadapan mesin dan jentera untuk melakasanakan skop tugas mereka.
Bagi yang boleh bekerja dari rumah terutama dalam skop pengurusan dan pentadbiran serta kerja yang membabitkan komputer dan teknologi maklumat pula walaupun boleh buat kerja dari rumah, namun mereka perlu dibekalkan dengan kemudahan yang diperlukan seperti komputer dan juga Internet.
Dalam situasi semasa, apakah majikan bersedia untuk menambah kos operasi mereka?
Penulis percaya sekali lagi pekerja akan menjadi mangsa keadaan apabila kemungkinan diberhentikan atas alasan tidak dapat bekerja dari rumah.
Jelasnya, nasib golongan pekerja terutama pasca Covid-19 cukup membimbangkan.
Masing-masing sudah mula mencongak masa depan apakah majikan akan terus menggaji atau akan memberhentikan mereka.
Justeru, sempena dengan hari pekerja ini, apa yang diharapkan ialah golongan pekerja tidak mudah putus asa dan kecewa.
Percayalah setiap musibah itu ada hikmahnya.
Seharusnya kita ambil ruang ini untuk meneroka apa jua peluang yang ada bagi mengharungi kehidupan pasca Covid-19 yang pastinya tidak akan sama dengan kehidupan kita sebelum ini.
Hakikatnya, kita perlu bersedia untuk menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu ini yang bakal menjadi gaya hidup yang selanjutnya.
Tuntasnya, golongan pekerja tidak mempunyai banyak pilihan.
Sama ada kita segera menyesuaikan diri atau kita akan terus ketinggalan.
Misalnya, konsep bekerja dari rumah perlu diterima sebagai norma baru dalam sektor pekerjaan di negara kita.
Manakala, bagi yang terpaksa menjadi mangsa korban angkara Covid-19 ini, perlu segera meneroka peluang lain seperti berniaga secara dalam talian atau guna konsep e-dagang.
Perniagaan ini semakin mendapat perhatian terutama ketika PKP ini dan dilihat bakal mendominasi sektor pekerjaan masa hadapan.
Jadi sama ada kita berniaga sendiri atau boleh menyediakan perkhidmatan menghantar tempahan seperti menyertai sektor e-hailing.
Semoga tarikh keramat 1 Mei tahun ini bakal mencetuskan gelombang dan semangat baru dalam diri setiap pekerja untuk bangkit mencipta peluang pekerjaan dalam memasuki era kebiasaan yang baharu.
Selamat Menyambut Hari Pekerja.
Noor Mohamad Shakil Hameed,
Timbalan Pengarah Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM)