KUALA LUMPUR – Pandemik COVID-19 yang sedang dihadapi ASEAN dan seluruh dunia memberi kesan terhadap krisis kesihatan dan ekonomi.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia juga memaksa lebih separuh penduduk dunia diletakkan di bawah perintah berkurung dan perintah kawalan pergerakan.
Muhyiddin berkata, penutupan sempadan negara dan lapangan terbang, sekolah dan perniagaan adalah kebiasaan baharu yang perlu diterima umum.
“Saat sekarang adalah situasi kritikal dan negara ASEAN harus mengambil pendekatan proaktif termasuk membabitkan pelbagai sektor dalam memastikan tindakan tepat dan berkesan menghadapi pandemik ini.
“Kita sedang menentang musuh tidak kelihatan yang jelas mengubah landskap dunia dan semua harus menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu ini,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai COVID-19, hari ini.
MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK
Katanya, Malaysia sentiasa mengambil berat dengan peningkatan kes COVID-19 yang menunjukkan pertumbuhan mendadak sejak beberapa minggu lalu.
“Antara pendekatan diambil ialah bermula 16 Mac, Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengarahkan penutupan sektor kerajaan dan swasta yang tidak penting; larangan perhimpunan besar-besaran dan rakyat diarahkan duduk di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan.
“Malaysia juga mewajibkan semua rakyat yang baru pulang dari luar negara menjalani kuarantin wajib selama 14 hari, menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tinggi jangkitan,” katanya.
Sehingga semalam, kadar kematian kekal pada kadar 1.6 peratus berbanding peratusan global sekitar 6.1 peratus. – BH Online