KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat tempoh penamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih belum boleh dimuktamadkan lagi kerana peperangan menamatkan wabak COVID-19 memerlukan masa yang panjang.
Dr Mahathir berkata, beliau percaya COVID-19 tidak mudah dihentikan dalam jangka pendek walaupun vaskin wabak ini berupaya ditemui kelak, ia masih memerlukan tempoh sekurang-kurangnya enam bulan untuk melihat keberhasilannya.
Sehubungan itu Dr Mahathir berkata, beliau percaya tiada satu tempoh masa yang boleh diisytiharkan bahawa Malaysia bebas sepenuhnya daripada wabak itu buat masa ini.
“Saya berpendapat kita akan menghadapi wabak ini agak lama dan kita tidak boleh tentukan sekian hari bulan untuk tamatkan perintah kawalan kerana vaksin belum ditemui menyebabkan virus masih boleh merebak.
“Tidak ada satu tarikh di mana nak katakan kita sudah bebas kerana saya yakin untuk menangani masalah wabak ini, ada perkara yang boleh didahulukan dan ada yang kena dilewatkan.
“Untuk mengeluarkan vaksin juga perlu mengambil masa sekurang-kurangnya 18 bulan dengan kesannya boleh diketahui dalam tempoh enam bulan, …jadi semua ini mengambil masa,” katanya, di sini hari ini.
MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK
Beliau berkata demikian melalui program bual bicara bersama Pakar Perunding Perubatan dan Paru-Paru dari Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nuurl Yaqeen Mohd Esa yang disiarkan secara langsung melalui Facebook, Dr Mahathir.
Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, dalam situasi kini, kaedah ‘try & error’ antara pendekatan yang digunapakai untuk melihat sama ada sesuatu pelaksanaan inisiatif itu mampu berkesan dalam mendepani COVID-19 kerana ini adalah kali pertama negara berdepan ancaman seperti ini.
“Langkah yang dibuat adalah satu persatu dan mesti dikaji apa kesannya contohnya mungkin boleh keluar rumah tapi kena pakai topeng muka dan setiap tindakan diambil sama ada perlu ditamatkan atau dikekalkan (PKP) kena mengambil masa kerana kita masih dalam percubaan.
“Kena kaji betul-betul dan tidak gopoh, kalau contoh kata ekonomi merosot dan kita tamatkan PKP, tiba-tiba wabak itu berkembang balik seperti di Sweden, ..jadi semua ini melalui ‘try & error’, kalau tindakan kita itu menjadi lebih buruk maka perlu dibatalkan keputusannya,” katanya.
Selain itu, Dr Mahathir berkata, dalam mendepani keadaan normal baharu selepas PKP, beberapa sektor pekerjaan yang tidak membabitkan pengumpulan ramai orang atau penggunaan robotik mungkin boleh diteruskan dan kawalan orang ramai ke pasar raya juga perlu dilaksanakan.
Beliau turut melihat faktor utama kejayaan mana-mana negara contohnya China dan Korea mengawal wabak ini tidak terletak semata-mata kepada kemudahan dan kemodenan perubatan namun ia disebabkan sikap rakyatnya yang berdisiplin dan patuh pada arahan seperti penguatkuasaan perintah berkurung.
Berbeza dengan Eropah dan Amerika Syarikat, kadar kematiannya tinggi disebabkan rakyat di negara itu amat menitikberatkan soal hak asasi manusia dan kebebasan sehingga mereka terpaksa membayar harga yang sangat tinggi dengan merekodkan kes maut puluhan ribu.
“Mereka menganggap bahawa mereka lebih maju dan ke depan tetapi walaupun maju namun dengan sikap yang ada pada mereka menjadi faktor jumlah kes begitu tinggi sebaliknya negara seperti China dan Korea di mana sikap rakyatnya yang amat berdisiplin dan patuh pada arahan menyebabkan mereka berjaya mengawal kes,” katanya. – BH Online