KUALA LUMPUR – Kerajaan masih mengkaji prosedur operasi standard (SOP) sesuai untuk membawa pulang pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari Zon Hijau ke Zon Merah atau sebaliknya.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia bagi memastikan pelajar IPT berkenaan bebas daripada jangkitan COVID-19.
Selain itu katanya, SOP berkenaan turut mengambil kira pelajar IPT yang tinggal rumah sewa untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Kita mempertimbangkan untuk melaksanakan ujian saringan ke atas pelajar IPT di Zon Merah yang mahu melakukan perjalanan ke Zon Hijau. Ia bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada COVID-19.
Anda peniaga? Mencari platform pengiklanan Online? Mula dengan kami ..Website Mynewshub, FB (2.96 juta followers), Instagram dan Twitter. Hubungi kami http://www.wasap.my/60176070516
“Selain itu, pelajar IPT di Zon Hijau mungkin hanya dibenarkan pulang ke kediaman waris terdekat mereka yang berada di Zon Hijau juga, jika kediaman ibu, bapanya terletak dalam Zon Merah.
“Bagaimanapun, kita akan mengutamakan perjalanan pulang pelajar IPT dari Zon Hijau ke Zon Hijau terlebih dahulu, selain SOP ini perlu dipertimbangkan pihak berkaitan dan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Universiti Malaya (UM) bagi meninjau pelaksanaan fasa pertama Ops Pulang membabitkan 164 pelajar bagi perjalanan ke Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Keseluruhan pelajar itu dibawa menaiki 12 bas dan tiga van serta tidak dibenarkan membeli makanan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang perjalanan, selain mereka turut dibekalkan cecair pensanitasi, topeng muka dan bekalan makanan.
Sebelum ini, kerajaan membenarkan pergerakan pelajar dari kawasan Zon Hijau ke kampung halaman yang berada di dalam Zon Hijau secara berperingkat bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19. – BH Online