KUALA LUMPUR – Kecekapan Malaysia dalam mengendalikan pandemik COVID-19 dan pengurusan kuaratin yang teratur buat rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara, mendapat penghargaan tinggi.
Bagi Jagath Guru, 51, rakyat Malaysia yang bekerja di Myanmar, ia benar-benar pengalaman yang mengharukan dan menginsafkan untuk menyaksikan usaha gigih yang dilaksanakan oleh petugas barisan hadapan dalam membantu mereka yang baru kembali dari luar negara.
“Pertama sekali, walaupun semasa orang ramai bimbang dengan jangkitan COVID-19 dan berusaha untuk menjauhkan diri dari sebarang risiko jangkitan, petugas pihak berkuasa yang berkaitan mengenai penyakit itu sebaliknya berusaha sebaik mungkin tampil dengan beraninya bukan sahaja untuk membantu kami, tapi juga berusaha memastikan semua keperluan diambil kira dan memastikan kami bersih dan berjaya mengharungi tempoh kuarantin dengan lancar.
“Pada hari ketiga kuarantin, pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil sample dari mulut dan kami diberitahu bahawa keputusan ujian akan diketahui dalam tempoh enam atau tujuh hari,” menurutnya dalam catatan Facebooknya pada 11 April.
Beliau berlepas dari Yangon pada 9 April menerusi penerbangan bantuan Myanmar Airways International 8M5001, dan kini menjalani tempoh kuarantin di Hotel Impiana.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada kerajaan kerana membiayai kos penginapan dan makanan semasa tempoh kuarantin.
“Rasanya saya perlu memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada kerajaan Malaysia kerana mereka memang benar-benar berhak mendapat pujian, bekerjasama dengan semua agensi kerajaan yang terlibat, dalam usaha membanteras pandemik itu.
“Ketika ini, berkurung semasa kuarantin juga mungkin idea yang baik, semasa alam sedang berusaha memulihkan diri, mungkin waktu untuk kita renung bersama dan insaf mengenai tugas dan tanggungjawab kita di muka bumi ini,” tambahnya.
Jagath turut menyuarakan penghargaan kepada Kedutaan Malaysia di Yangon, Myanmar terhadap bantuan mereka dalam melaksanakan penerbangan ihsan, selain mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkuasa yang berkaitan, tanpa mengira kaum dan jantina.
Katanya walaupun sedih kerana tidak dapat meraikan Tahun Baharu Tamil bersama aggota keluarga esok, namun secara peribadi beliau berpandangan kembali kepangkuan keluaga dalam keadaan bersih adalah lebih penting lagi, dengan jaminan bebas COVID-19 memberikan rasa lebih yakin dan lega.