KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan sentiasa telus dalam berbelanja dan semua tindakan yang diambil adalah berasaskan kepada peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri menjelaskan, sebaik sahaja Parlimen bersidang, kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan untuk semua pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan.
“Saya berharap Pakej PRIHATIN Tambahan ini akan dapat melindungi pekerjaan anda semua di samping menjamin daya tahan perniagaan.
“Pada masa yang sama, kerajaan akan meneruskan amalan kewangan berhemah dan disiplin fiskal yang tinggi demi memastikan keadaan kewangan negara terus kukuh dan terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) Tambahan hari ini. – BH Online