PUTRAJAYA – Kerajaan meminta rakyat Malaysia yang berada di Singapura tidak pulang ke negara ini buat masa ini berikutan prosedur operasi standard (SOP) di negara itu hanya menjalankan ujian swab terhadap mereka yang menunjukkan gejala.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasil perbincangan dengan menteri kanan Singapura mendapati terdapat perbezaan SOP antara Singapura dan Malaysia.
Menurutnya, SOP itu tidak membenarkan rakyat Malaysia yang berada di negara itu pulang bagi mengelakkan berlakunya pertambahan kes positif wabak koronavirus (Covid-19) khususnya melibatkan kes import.
“Bagi Singapura, mereka kata ikut SOP Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu mereka yang tidak bergejala tidak perlu membuat ujian swab sedangkan kita minta ujian swab ke atas semua yang pulang ke negara kita.
“Rakyat yang telah pulang diberikan surat pelepasan mengatakan mereka bebas Covid-19 kerana mengikut SOP mereka (Singapura) hanya melakukan saringan kesihatan biasa dan mereka ini ditempatkan di rumah untuk kuarantin diri tetapi tidak berpuas hati.
“Kita telah berbincang dengan Singapura bahawa rakyat kita dibenarkan untuk tinggal di sana (Singapura) dan mereka akan menanggung dari segi tempat tinggal, elaun makanan dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan Singapura bagaimanapun tidak boleh menyekat mana-mana rakyat Malaysia yang ingin pulang ke negara ini.
“Kita minta majikan membuat laporan berapa jumlah rakyat Malaysia yang telah pulang ke Johor Bahru kerana kita ingin dapatkan maklumat yang jelas berapa ramai yang telah pulang.
“Tujuan kita adalah untuk mendapatkan senarai lengkap supaya saringan boleh dilakukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya. – Sinar Harian