PENULARAN COVID-19 yang melanda seluruh dunia ternyata memberi kesan besar kepada pelbagai aspek kehidupan. Antara yang turut terkesan besar ialah pertumbuhan ekonomi, selain impak psikososial.
Keseriusan mengenai penularan wabak ini menyebabkan Malaysia mengambil tindakan dengan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula semalam hingga 31 Mac ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan Malaysia turut mengenakan sekatan menyeluruh perjalanan rakyat ke luar negara. Bagi warga negara yang baru pulang ke Malaysia pula, mereka perlu melakukan kuarantin sukarela selama 14 hari.
Jumlah kematian akibat wabak ini sudah melebihi 6,443 orang. David DeStenao (2020) seorang ahli psikologi di Northeastern University, menyatakan jumlah kematian tinggi ini mengakibatkan kebimbangan dan ketakutan dalam kalangan warga dunia.
Mengikut beliau lagi, kebimbangan dan ketakutan masyarakat mengenai risiko COVID-19 adalah normal. Namun, apa yang tidak patut berlaku ialah wujudnya ketakutan psikologi atau psychological fear yang ekstrem dan tidak seimbang. Ketakutan psikologi ini diakibatkan gabungan faktor emosi dan pengetahuan terhad mengenai COVID-19.
Pelbagai maklumat palsu menambahkan lagi kebimbangan. Ini ditambah ketakutan melalui pemikiran tidak rasional bahawa orang di sekeliling semuanya pembawa virus COVID-19.
Dalam masa dunia bergelut menghadapi wabak ini, ramai terbelenggu dengan sikap mudah mempercayai maklumat palsu. Ketidakpastian mengenai sesuatu maklumat menyebabkan kita membiarkan diri dipengaruhi berita tidak sahih.
Ini adakalanya amat menakutkan. Di tengah-tengah penularan wabak ditambah dengan permainan psikologi yang dibina atas dasar pemikiran tidak logik, ia ternyata membawa kepada tindakan yang merosakkan. Contohnya, apabila berlakunya pembelian panik.
Mengikut Adam Kucharski, seorang lagi ahli psikologi, ramai individu tidak bijak mengenal pasti maklumat yang mengelirukan, terutama di media sosial.
Antara sebabnya ialah kita tidak tahu bagaimana hendak menyaring maklumat yang benar. Satu lagi faktor ialah kita terlalu terburu-buru dalam menerima dan menyebarkan maklumat.
MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK
Satu lagi bentuk ketakutan psikologikal ialah bersifat prejudis dan suka menyalahkan orang lain. Memandangkan COVID-19 bermula dari Wuhan, China, sentimen anti-Asia meningkat dengan drastik. Apabila individu bertingkah laku dalam emosi yang keliru dan celaru, mereka boleh membuat pilihan tidak rasional.
Terdapat orang yang sememangnya sudah bersifat prejudis dan keadaan sebegini akan menambahkan lagi sikap stereotaip yang ada dalam diri mereka.
Berlakunya sesuatu bencana adalah masa yang amat sukar kepada individu mempunyai sejarah masalah mental seperti kebimbangan keterlaluan dan kecelaruan tingkah laku.
Mereka amat memerlukan jaringan sokongan sosial yang kuat di mana mereka banyak bergantung kepada orang yang mereka percaya.
Ketakutan psikologi ini boleh diatasi dengan membentuk satu kaedah yang dapat mengawal minda atau pemikiran untuk mengawal ketakutan yang boleh menyumbang kepada panik.
Tidak terlalu mempercayai sepenuhnya maklumat daripada media sosial juga satu jalan yang berupaya mengawal ketakutan dan kebimbangan yang melampau.
Apa yang lebih penting jangan benarkan ketakutan mempengaruhi pembuatan keputusan dan proses pemikiran yang rasional. Jika ini berlaku, harga yang perlu dibayar adalah sangat mahal yang mana ketakutan psikologi ini lebih berbahaya berbanding serangan wabak COVID-19 itu sendiri.
Pihak yang berwajib sedang giat berusaha dalam menangani COVID-19. Ternyata semua yang terbabit memberikan pengorbanan yang amat tinggi.
Kita wajar memberi sokongan padu dan memberi ucapan penghargaan yang sewajarnya dalam mereka menjalankan tanggungjawab mereka. Mereka juga perlu menjaga keselamatan diri agar tidak dijangkiti oleh virus yang membawa maut ini.
Dr Ratna Roshida Ab Razak
Profesor (Psikologi Kaunseling) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)