KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini memutuskan tiada sebarang bentuk bazar Ramadan dibenar beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian PKP di Putrajaya, hari ini.
Keputusan itu dibuat bagi meneruskan usaha membendung penularan wabak COVID-19 yang masih melanda negara dan mengancam kesihatan rakyat.
“Kerajaan sentiasa mendengar dan mengambil kira pandangan rakyat termasuk pakar-pakar dan badan-badan bukan kerajaan.
“Sehubungan itu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat keputusan bahawa sebarang bentuk bazar Ramadan di seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. – BH Online