JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, tidak sesuai untuk mengadakan bazar Ramadan dalam keadaan penularan wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini.
Baginda bertitah, kemungkinan dan risiko berlakunya kesesakan adalah amat besar sekali gus boleh memberi kesan kepada kesihatan masyarakat secara keseluruhan.
“Kes positif Covid-19 masih dilaporkan berlaku, maka saya melihat adalah tidak sesuai jika mahu diadakan bazar Ramadan bukan sahaja di sini (Johor), malah di tempat lain juga demi kesihatan serta keselamatan rakyat.
“Lupakan bazar Ramadan, saya bimbang jika berlaku penularan virus berkenaan secara berleluasa, ini akan turut memberi kesan kepada usaha kerajaan dalam membasmi sepenuhnya wabak ini,” titah Baginda.
Sultan Johor bertitah demikian kepada Royal Press Office (RPO) di Istana Pasir Pelangi, di sini hari ini.
Baginda bertitah, masyarakat tidak seharusnya memandang ringan arahan serta nasihat pihak berkuasa.
“Anda lihat sendiri, bagaimana petugas-petugas perubatan bersama-sama pasukan barisan hadapan bertugas dari pagi hingga malam dalam usaha mahu membendung penularan wabak ini.
“Bayangkan, jika wabak ini semakin berleluasa, ia akan turut memberi kesan kepada pasukan perubatan sehingga merencatkan sistem rawatan,” titah baginda. – Sinar Harian