PENGACARA dan penceramah motivasi, Amin Idris, 39, bersyukur apabila keputusannya untuk tidak meminta maaf dan membayar ganti rugi berjumlah RM1 juta kepada Ustaz Abu Syafiq mendapat sokongan masyatakat.
Ia susulan daripada tuntutan dibuat Abu Syafiq selepas status dimuat naik Amin di laman sosial pada Sabtu lalu membabitkan isu dengan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew yang dianggap menjatuhkan reputasi.
Amin ketika dihubungi berkata, dia berbuat sedemikian selepas berbincang dan mendapat nasihat daripada pasukannya dan peguam.
“Saya bersyukur kerana bukan saya seorang yang melihat kebiadaban dia. Dalam masa sama, ini menambah motivasi untuk teruskan berjuang. Lebih jelas ini juga tanda rakyat Malaysia menolak agamawan yang tandus akhlak,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas mengenai keputusannya itu, Amin tetap nekad untuk tidak akan meminta maaf dan membayar RM1 juta seperti dituntut melalui peguam Abu Syafiq dalam tempoh seminggu bermula kelmarin.
“Saya sudah mengarahkan peguam yang mewakili saya untuk membalas surat tuntutan daripada Abu Syafiq.
“Selepas berbincang bersama peguam, pasukan saya nekad untuk tidak memohon maaf dan membayar ganti rugi RM1 juta seperti mana dituntut. Jadi, kita lawan di mahkamah,” katanya.
Terdahulu, Amin yang mengendalikan program The Amin Idris Show mendedahkan tuntutan yang dibuat Abu Syafiq di semua laman sosial.
Dalam tuntutan dibuat Abu Syafiq menerusi peguamnya menyifatkan status dimuat naik Amin membuatkan Abu Syafiq mendapat menerima pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat.
“Hasil daripada ‘posting’ itu, anak guam kami menerima pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat termasuklah ratusan kecaman, ugutan dan komen-komen yang sinis yang tidak benar, menjatuhkan reputasi dan mencalarkan kredibiliti serta mendatangkan kerugian kepada anak guam,” katanya.
Menerusi tuntutan sama, permohonan maaf itu dibuat di semua medium dan mesti diluluskan oleh Abu Syafiq.
Amin diberi masa tujuh hari untuk memohon maaf dan membayar RM1 juta.
Sementara itu, usaha Harian Metro mendapatkan kenyataan daripada Abu Syafiq tidak berjaya apabila mesej dihantar tidak dibalas. – myMetro Online