SIAPA sangka pertolongan kecil itu besar impaknya.
Begitulah nasib seorang jurutera kargo warga Rusia yang diselamatkan polis selepas ‘terkandas’ di Temerloh gara-gara gambarnya dalam keadaan amat menyedihkan dikongsi seorang wanita di Facebooknya sehingga menjadi tular di media sosial.
Lelaki itu dilihat memegang potongan kotak yang tertulis “I can’t go home and have no money. I need a food (Saya tidak boleh pulang dan tiada duit (saya lapar) di hadapan sebuah restoran makanan segera.”
Menurut Lizawati Abizar, wanita yang berkongsi gambar lelaki dikenali sebagai Maxim La itu, dia sekadar membantu sesama manusia.
“Petang semalam kebetulan saya beli McDonald. Lepas saya ambil makanan saya patah balik semula sebab hati saya tergerak nak baca apa yang dia tulis kat kotak tu.
“Tapi saya tak bagi makanan sebab saya beli untuk anak saja. Jadi saya bagi duit untuk dia beli makanan. Masa tu jarak kereta dengan dia tak dekat sangat, saya hulur macam tu dan terus pandu lalu,” katanya kepada mStar.
Simpati melihat lelaki itu, Lizawati atau lebih dikenali sebagai Eza terpanggil untuk berkongsi gambarnya di Facebook dengan harapan ada orang lain yang akan membantu.
“Bila saya hulur duit nampak sangat dia susah hati. Dia kata ‘thank you’. Kami tak dapat borak sebab saya order makanan drive-tru.
“Nampak jugalah wajah dia penat sangat masa tu dan macam tak berdaya. Saya pun post gambar dia dengan harapan ada yang akan bantu.
“Masa tu nak share kat grup Facebook tapi tak sempat, tengok-tengok ramai dah bantu share. Alhamdulillah ramai mesej saya beritahu nak bantu dia,” katanya.
Wanita berusia 33 tahun itu turut berterima kasih kepada netizen kerana membantu mempermudahkan urusan lelaki tersebut.
“Saya tak buat apa pun. Orang lain yang bantu dia. Kalau orang lain di tempat saya mereka pun akan buat perkara sama.
“Saya asbab dan kebetulan ada dekat situ. Sama-samalah kita jadi sebaik-baik manusia. Manusia yang bermanfaat kepada orang lain.
“Terima kasih semua yang bantu saya share post. Masa tu saya nak cepat. Itu je yang saya boleh bantu. Saya tahu rakyat Malaysia sangat prihatin,” katanya.
Pada masa sama, Eza turut terkejut apabila menerima mesej daripada lelaki itu menerusi Facebook Messenger pagi Khamis.
“Bila dapat mesej tu memang saya terkejut. Tak sangka dia cari saya di Facebook. Lepas tu dia terus add saya.
“Dia just nak ucap terima kasih kerana bantu dia tempoh hari,” katanya.
Lelaki tersebut menerusi status terbaharunya di Facebook petang Khamis memaklumkan dia sudah dibawa polis Temerloh menuju ke Kuala Lumpur.
“Saya OK. Klinik memeriksa saya untuk Covid-19. Maaf untuk sedikit halangan dekat McDonalds,” katanya.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, lelaki berusia 42 tahun itu yang berasal dari Moscow, Rusia ditemui berlegar-legar di hadapan Pasaraya TMJ Temerloh kira-kira jam 4.30 petang.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati lelaki tersebut telah memasuki negara ini melalui sempadan Thailand-Malaysia (Bukit Kayu Hitam) pada 17 Mac lalu.
“Jurutera tersebut merupakan seorang backpackers yang datang ke negara ini dengan tujuan melancong. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, dia berada di Kuantan.
“Kemudian dia berusaha untuk pulang ke Rusia namun tiket penerbangannya dibatalkan dan telah gagal menghubungi dua rakannya,” katanya. – mStar Online