KUALA LUMPUR – Operasi Pangea XIII di Malaysia membawa kepada rampasan 1,026,857 unit ubat tidak berdaftar menerusi pemeriksaan di semua pintu masuk negara.
Rampasan menjangkau nilai RM2.55 juta itu hasil pemeriksaan pihak berkuasa terhadap kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri di seluruh negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata operasi bersepadu itu membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pos Malaysia, kurier dan platform e-marketplace.
“Sebanyak 347 laman web peribadi, 360 akaun di laman sosial dan 585 pautan di platform e-marketplace yang didapati menjual produk farmaseutikal menyalahi peruntukan undang-undang dipantau, disiasat serta diambil tindakan.
“Sepanjang tempoh operasi antara 3 hingga 10 Mac lalu, sebanyak 853 bungkusan pos diperiksa dan 79 daripadanya dirampas kerana didapati mengandungi produk farmaseutikal yang tidak berdaftar.
“Rampasan antara lain merangkumi kosmetik tidak bernotifikasi dan produk kesihatan yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan KKM, menjadikan nilai keseluruhan rampasan ialah RM 2,554,456,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Anda peniaga? Mencari platform pengiklanan Online? Mula dengan kami ..Website Mynewshub, FB (2.96 juta followers), Instagram dan Twitter. Hubungi kami http://www.wasap.my/60176070516
Dr Noor HIsham berkata, serbuan dan pemeriksaan turut dijalankan terhadap penjual dan premis perniagaan yang terbabit dengan pemasaran secara dalam talian.
Menerusi pendekatan itu, katanya, 50 premis tidak berlesen diserbu yang kebanyakannya menjual produk farmaseutikal di seluruh negara secara dalam talian.
“Sebanyak 23,278 produk farmaseutikal menyalahi peruntukan undang-undang dirampas untuk tindakan lanjut, dengan nilai anggaran RM633,455.60.
“Turut dirampas beberapa peranti digital seperti komputer dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk.
“Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) masih meneruskan pemantauan di laman sesawang dan media sosial serta mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dalam menangani isu penjualan produk farmaseutikal dalam talian walaupun Operasi Pangea berakhir,” katanya.
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PRK) iaitu dari 18 Mac hingga 20 April lalu, Dr Noor Hisham mendedahkan, sebanyak 38 aduan berkenaan ubat-ubatan dan produk farmaseutikal yang mempunyai tuntutan rawatan COVID-19 diterima.
Selain itu, 182 pautan di laman sesawang yang menjual ubat-ubatan tidak berdaftar dan mempunyai tuntutan rawatan COVID-19 disaring serta disekat.
“Sebanyak 556 notifikasi dikeluarkan kepada platform e-marketplace bagi menurunkan penjualan produk tidak berdaftar atas tujuan sama.
“Punca utama yang dikenal pasti penyebab penjualan ubat-ubatan yang tidak berdaftar dan dicampur palsu dalam talian meningkat adalah berikutan permintaan pengguna di Malaysia dan di seluruh dunia.
“Wabak COVID-19 memberikan peluang penjenayah mengambil kesempatan berdasarkan permintaan tinggi untuk produk perlindungan diri dan kebersihan.
“Oleh itu, pengguna perlu memainkan peranan untuk bersikap cakna dalam memastikan ubat-ubatan yang dibeli adalah selamat, berkualiti dan berkesan,” katanya.
Berbanding Operasi Pangea pada tahun sebelumnya, Dr Noor Hisham menjelaskan, operasi kali ini menunjukkan peningkatan sekitar 18 peratus dalam jumlah rampasan ubat antivirus yang tidak sah, selain lonjakan lebih 100 peratus membabitkan ubat hydroxychloroquine dan chloroquine terlarang.
“Operasi ini menutup lebih 2,500 pautan web, termasuk laman web, laman media sosial, tapak pasar dalam talian dan iklan dalam talian yang menjual ubat-ubatan terlarang.
“Usaha gabungan pihak berkuasa seluruh dunia juga dapat membanteras aktiviti 37 kumpulan jenayah terancang,” katanya. – BH Online