BAPA anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim mengemukakan representasi kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, bagi mendapatkan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC), berhubung permohonan prosiding komital yang difailkannya terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Peguam Aidil Khalid, yang mewakili bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid berkata, pihaknya menghantar surat representasi itu menerusi faks dan e-mel semalam.
Beliau berkata, representasi itu adalah bagi mendapatkan pendirian terkini AGC susulan pertukaran Peguam Negara pada 6 Mac lalu, sama ada masih berdiri teguh di belakang tingkah laku Thomas selaku bekas Peguam Negara, khususnya berkenaan kenyataan media yang menjadi subjek perkara prosiding menghina mahkamah, ataupun AGC menjarakkan dirinya dengan tindakan Thomas tersebut.
MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK
Menurut Aidil, AGC diharap dapat memberikan jawapan supaya pihaknya dapat menasihati Mohd Kassim untuk tindakan seterusnya terhadap rayuan yang difailkan anak guamnya itu pada 11 Februari lalu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Jan lalu, yang membenarkan rayuan Thomas untuk mengetepikan prosiding komital itu.
Peguam itu juga berkata, pengurusan kes rayuan itu yang ditetapkan hari ini di Mahkamah Rayuan dilapangkan berikutan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.
“Sistem e-filing kehakiman menyenaraikan tarikh baharu pengurusan kes ialah pada 12 Ogos depan,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Mohd Kassim memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding komital terhadap Thomas pada 16 Julai tahun lepas di Mahkamah Koroner Shah Alam, atas dakwaan menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.
Mahkamah Koroner membenarkan permohonan itu dan Thomas kemudiannya menfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memutuskan Mahkamah Koroner telah terkhilaf ketika membenarkan prosiding komital dimulakan terhadap Thomas.
Dalam permohonan itu, Mohd Kassim, 66, mendakwa Thomas telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan AGC pada 3 April tahun lalu, berhubung punca kematian anaknya.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018, di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.
Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.