KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk menurunkan kadar dasar semalaman (OPR), yang menjadi penanda aras rujukan pinjaman tempatan sebanyak 0.50 peratus kepada 2.00 peratus.
Ini menjadikan kadar siling dan lantai bagi koridor OPR masing-masing dikurangkan kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus, kata Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank pusat itu yang bermesyuarat hari ini.
BNM berkata, persekitaran ekonomi global menjadi bertambah lemah secara mendadak.
Katanya, beberapa langkah untuk membendung pandemik COVID-19 menyebabkan gangguan aktiviti ekonomi merentasi kebanyakan negara.
“Petunjuk terkini menunjukkan bahawa ekonomi global sudah pun menguncup, dengan pertumbuhan global diunjurkan menjadi negatif bagi tahun ini.
“Persekitaran kewangan juga menjadi sempit di tengah-tengah meningkatnya risiko dan ketidaktentuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.