KERAJAAN bercadang mengkaji semula Akta 342 untuk melarang membawa kanak-kanak ke pasar raya dan pusat beli-belah.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan ramai ibu bapa masih berdegil membawa anak kecil ke pusat beli-belah.
“Kita akan berbincang dengan Peguam Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mencapai persetujuan.
“Kalau perkara ini dipersetujui maka peraturan boleh dipinda. Jika melanggar peraturan boleh dihukum di bawah Akta 342,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.
MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK
Beliau berkata, kerajaan perlu meneliti secara mendalam mengenai implikasi dan mendapatkan nasihat perundangan sebelum peraturan boleh dipinda.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menyeru orang ramai yang mengunjungi pasar raya atau premis perniagaan memberikan nama dan nombor telefon sebenar bagi memudahkan pemilik premis menjejaki mereka jika ada kes positif Covid-19.
“Saya difahamkan ramai tak beri nama dan nombor telefon yang betul. Ada tulis nama badang, superman, batman dan macam-macam lagi. Mereka juga beri nombor telefon yang salah.
“Kalau terjadi apa-apa kecemasan sama ada kontak rapat berkait kes positif Covid-19, pemilik kedai tak dapat hubungi. Jadi akhirnya menyusahkan mereka juga,” katanya.
Katanya, pengunjung cuma perlu memberikan nama dan nombor telefon sahaja untuk memastikan mereka boleh diselamatkan jika ada kes jangkitan Covid-19. – myMetro Online