KUALA LUMPUR – Masalah emosi dikenal pasti menjadi isu utama kesihatan mental rakyat pada ketika ini, terutama sejak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berdasarkan 8,380 panggilan telefon yang diterima pihaknya setakat semalam, 46.8 peratus berdepan masalah itu.
Selain tekanan perasaan, beliau berkata, mereka juga berasa bimbang dan marah disebabkan pelbagai faktor sosial seperti masalah pendapatan dan kewangan serta perselisihan dengan keluarga.
MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERAā¦ KLIK
“Kebimbangan berkenaan wabak COVID-19 pula menyumbang 20 peratus.
“Kita perlu memberi kaunseling untuk mereka mendapat maklumat terkini, dan kadang-kadang ada kebimbangan mereka menerima maklumat tidak tepat,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata, aspek keperluan asas menyumbangkan 6.9 peratus, sementara masalah keganasan rumah tangga dan perhubungan pula enam peratus.
“Masalah psikiatri, iaitu kemurungan dan keresahan, menyumbang 2.4 peratus, manakala penderaan kanak-kanak pula 0.2 peratus,” katanya.
Justeru, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sedang melihat langkah bagi mempertingkatkan perkhidmatan kaunseling dalam talian itu.