MENIKMATI pandangan persekitaran hijau dari tingkap mungkin akan menjadi sebahagian dari normal baharu akibat dari pandemik COVID-19 di Malaysia. Berdasarkan dari banyak kajian berkaitan dengan rekabentuk landskap dan juga dari aspek psikologi persekitaran, memandang ke arah kawasan persekitaran luaran hijau terbukti mampu mengurangkan tekanan mental dan meningkatkan daya tumpuan seseorang. Namun realitinya tidak semua masyarakat bernasib baik mempunyai laman rumah yang terbentang luas untuk dinikmati.
Satu kajian di akhbar pada April 2020 mengenai kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia melaporkan 25% sehingga 32% dari kumpulan yang menghadapi tekanan mental merupakan mereka yang tinggal di perumahan kos rendah seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan golongan ini menunjukkan mereka lebih terkesan dengan isu kesihatan mental seperti depresi, keresahan dan kerisauan melampau.
Antara sebab yang dinyatakan yang menyumbang kepada tekanan mental adalah kesesakan ruang rumah yang terpaksa dikongsi dengan isi keluarga yang ramai. Keluasan di antara 650 sehingga 700 kaki persegi sudah tidah dapat menampung isi rumah yang ada kalanya mencapai tiga generasi sejak perpindahan ke PPR.
MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK
Apakah perubahan yang boleh diambil untuk membolehkan para penghuni di perumahan kos rendah terutamanya di PPR menikmati keselesaan serta memaksimakan faedah kawasan hijau secara visual?
Sehubungan dengan itu, satu kajian telah dijalankan secara temubual telefon dengan penghuni dari kediaman PPR terpilih di sekitar Kuala Lumpur. Kajian ini dijalankan dari 25 April sehingga 29 April 2020 bersama dengan seorang wakil penduduk dari enam kediaman PPR dan satu perumahan awam iaitu PPR Batu Muda, Sentul, PPR Keramat, PPR Hiliran Ampang, PPR Sungai Bunus, Setapak, PPR Seri Semarak, PPR Kampung Air Panas dan Perumahan Awam Desa Rejang.
Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mendapat pendapat secara langsung dari penghuni tentang isu yang menyumbang kepada masalah tekanan mental serta mendapat pengesahan tentang kesan positif pandangan luaran hijau ke atas penghuni.
Hasil rumusan dari kajian, hampir kesemua yang ditemu bual mengatakan mereka bersetuju bahawa salah satu cara untuk mengurangkan tekanan mental jika berlaku lagi penguatkuasaan PKP adalah peluang untuk melemparkan pandangan ke luar secara terus seperti di balkoni. Namun, situasi yang ada pada waktu ini di flat PPR dan perumahan awam tiada dibina balkoni untuk mereka berasa sedikit lega menikmati pandangan luar. Keadaan seolah-olah terperangkap oleh empat dinding semakin menambah kepada tekanan mental penghuni.
Saranan ini merupakan antara yang terpenting kerana terdapat teori yang mengatakan pandangan luar dari tingkap dapat mengurangkan tekanan dengan satu kajian yang dijalankan hampir 31 tahun yang lalu di hospital di Pennsylvania, Amerika Syarikat yang sering menjadi tanda aras untuk sebilangan besar penyelidik yang membuat kajian tentang kesan pandangan hijau.
Untuk kajian di PPR ini, lima dari lapan wakil yang ditemu bual membuat perbandingan dengan kediaman kos rendah sebelum dipindahkan ke PPR. Mereka mengatakan mereka berasa kurang tekanan apabila dapat melemparkan pandangan semasa berada di balkoni semasa tinggal di flat yang terdahulu seperti di Flat Pekeliling dan Flat Seri Terengganu.
Bagaimana pula dengan persekitaran hijau di kawasan PPR? Hasil dari temu bual mendapati terdapat kawasan padang permainan serta padang yang disediakan oleh pihak berkuasa yang terlibat. Namun, ada juga sebahagian dari penduduk PPR yang perlu memohon untuk mendapatkan kemudaan rekreasi di tempat mereka. Di dalam senario terburuk, ada kawasan hijau dan permainan yang perlu dikorbankan di kawasan PPR untuk memberi laluan kepada parkir kenderaan penghuni yang jumlahnya sudah di luar kawalan.
Satu perubahan perlu dilakukan untuk pembangunan perumahan kos rendah di Malaysia. Spesifikasi yang diguna pakai untuk keluasan ruang iaitu Standard Perumahan Kebangsaan bagi Perumahan Kos Rendah Rumah Pangsa tidah lagi boleh diaplikasikan. Normal baharu yang timbul dari PKP perlu diambil kira di dalam pembinaan rumah.
Anak-anak tidak dapat berkembang dari segi mental dan ini menambah kepada masalah sosial kerana mereka perlu keluar dari ruang yang menyesakkan minda dan fizikal. Seorang penghuni mengatakan anak-anak beliau akan menggunakan koridor laluan di depan rumah apabila membuat kerja sekolah yang diberikan secara atas talian semasa musim PKP. Laluan yang sama juga diguna pakai sebagai ruang untuk menjemur pakaian yang telah dibasuh.
Peluang untuk menikmati pandangan luar perlu diambil kira di samping aktiviti isi rumah yang lain. Aktiviti berkebun, pembelajaran anak di rumah dan aktiviti sosial lain boleh dilakukan di balkoni yang bertindak sebagai ruang pelbagai guna. Tingkap yang lebih besar juga boleh disarankan untuk memaksimakan visual ke luar. Contoh perumahan yang boleh dilihat adalah di Sao Paulo, Brazil iaitu bangunan kediaman yang terbesar di Amerika Latin yang dinamakan ‘The Copan’.
Kawasan hijau di persekitaran PPR perlu diberi penekanan oleh pihak berkuasa yang terbabit. Reka bentuk landskap luaran hijau harus mengambil kira bagaimana ianya boleh dinikmati bukan sahaja secara fizikal, malah juga secara visual.
Professor Madya Dr. Shureen Faris Abd. Shukor
Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Rekabentuk dan Senibina
Bidang kepakaran: Rekabentuk kawasan Luaran Hijau berciri Restoratif, Rekabentuk Landskap Golongan Khas, Landskap Institusi Kesihatan