TAPAH – Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dijangka diketahui Khamis ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata garis panduan itu akan dibincangkan dan diperhalusi dalam satu mesyuarat bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini.
“Hari ini saya nak bincang, jadi esok masuk mesyuarat Kabinet,” katanya pada sidang media Program Inspirasi Musaadah Ramadan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Dewan Budiman, Kompleks Penjara Tapah, di sini, hari ini.
MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK
Zulkifli berkata, pandangan berkenaan kemudiannya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Majlis Raja-Raja dan pihak berkuasa negara.
“Itulah prosedur kita lakukan dan kita sentiasa mengambil cakna terhadap apa yang disarankan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, untuk SOP yang akan kita bina, Insya-Allah,” katanya.
Ketika ditanya mengenai keputusan Perlis membenarkan solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini, Zulkifli berkata perkara itu tertakluk kepada bidang kuasa negeri masing-masing.
Sementara itu, mengenai solat Aidilfitri beliau berkata, pihaknya juga akan berbincang mengenai perkara itu secara khusus dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata sehingga kini YaPEIM telah membelanjakan RM1.75 juta daripada Tabung Amanah YaPEIM yang memberi manfaat kepada 76,976 penerima di 365 lokasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu hingga hari ini.
Ia diberikan melalui program Foodbank YaPEIM 2.0 #MUSAADAHCOVID19 dan program Insprirasi Musaadah Ramadan termasuk program Beli dan Sumbang.
“Hari ini seramai 650 keluarga yang dikenal pasti akan menerima sumbangan barang keperluan asas dengan peruntukan RM32,500.
“Sumbangan itu akan diagihkan oleh pihak-pihak yang dikenal pasti seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan beberapa agensi kerajaan lain bagi menampung keperluan harian keluarga dan meringankan beban,” katanya.
Terdahulu, Zulkifli turut menghadiri program Ziarah Sahabat Penjara dan Bantuan Musaadah COVID-19 di penjara berkenaan.