KUALA LUMPUR – Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berisiko memburukkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu.
Ketua Sektor Politik Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, berkata usul itu tidak kena pada masanya ketika negara masih bergelut dengan wabak COVID-19.
Beliau mempersoalkan sama ada bekas Perdana Menteri itu benar-benar sayangkan bangsanya kerana jika usul itu berjaya, ia akan menyebabkan kejatuhan sebuah kerajaan pemerintahan dominan orang Melayu dan Bumiputera.
MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK
“Demi kestabilan politik negara, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat selepas pandemik COVID-19 dikalahkan, kerajaan dipimpin Muhyiddin perlu kekal meneraju negara tanpa diganggu Dr Mahathir dengan kerenah politik kepentingan diri yang tidak membawa apa-apa kebaikan kepada rakyat dan negara.
“Justeru, QIAM menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin untuk terus menerajui negara bagi melaksanakan berbagai program keprihatinan dan kesejahteraan rakyat yang menderita akibat wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jumaat lalu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof, memaklumkan menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, yang dikemukakan Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi pada 4 Mei lalu, mengikut Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).
Wan Ahmad berpandangan, tindakan Dr Mahathir itu seolah-olah cuba mempertikai kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan, seperti termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
“Bukankah pelantikan itu sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan?” katanya.
Wan Ahmad menegaskan, Yang di-Pertuan Agong terpaksa membuat pelantikan selepas Dr Mahathir meletak jawatan Perdana Menteri atas kerelaannya dan tanpa dipaksa oleh Muhyiddin.
“Apakah kebaikan kepada rakyat, khasnya orang Melayu-Bumiputra di sebalik tindakan Dr Mahathir mengemukakan usul tidak percaya bagi menyingkirkan Muhyiddin, selain untuk kepentingan politik peribadi dan membuka peluang kepada Pakatan Harapan (PH) dan DAP kembali menerajui negara,” katanya. – BH Online