Oleh: Kurniawati Kamaruddin
KUALA LUMPUR – Bagai menggadaikan nyawa di jalan raya, itulah risiko yang terpaksa ditanggung pengguna jalan raya apabila berkongsi jalan raya dengan pemandu mabuk.
Bagi pemandu mabuk, tahap risikonya amat tinggi dengan 13 kali ganda boleh menyebabkan kemalangan berbanding mereka yang tidak berada di bawah pengaruh alkohol sepertimana yang dinyatakan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
Pertambahan kes dilihat mendadak untuk lima bulan pertama tahun ini dengan 21 kes termasuk sembilan kematian, dan ia bukanlah satu angka yang sedikit, jumlahnya hampir menyamai 23 kes keseluruhan pemandu mabuk sepanjang 2019, sehingga ia mencetuskan kebimbangan banyak pihak.
Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Dr Rusdi Abd Rashid berkata tidak ada paras selamat bagi kandungan alkohol dalam darah apabila melibatkan risiko kesihatan.
Katanya paras kandungan alkohol dalam darah (BAC) serendah 0.02 peratus sudah menunjukkan kesan kepada individu yang mengambil minuman itu.
Antaranya penglihatan menjadi kabur, dan sekiranya pada paras BAC 0.05 ia boleh menyebabkan pertimbangan akan terganggu dan kadar tindak balas menurun, katanya.
“Pada paras BAC 0.08, ia akan menyebabkan ketidakupayaan mengawal had laju, koordinasi otot terganggu dan hilang tumpuan manakala paras BAC 0.10 menyebabkan suara mula tidak jelas dan ketidakupayaan memproses informasi.
“Pada tahap BAC 0.15 ia akan menyebabkan kehilangan kawalan sepenuhnya termasuk kelumpuhan (paralysis) otot, hilang deria pendengaran dan penglihatan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurut beliau, mereka yang berada di bawah pengaruh alkohol tidak berkemampuan untuk mengendalikan kenderaan.
“Mereka juga hilang kawalan pergerakan fizikal, gangguan deria penglihatan dan pendengaran selain ketidakupayaan dalam membuat keputusan.
“Selain itu kadar rasional dan tindak balas mereka agak lambat yang boleh menyebabkan mereka terlibat dalam nahas jalan raya, perlakuan ganas dan kecederaan,” katanya.
Jelas Dr Rusdi individu di bawah pengaruh alkohol sebenarnya tidak layak atau cergas untuk memandu kerana gejala-gejala itu, dan seharusnya mereka tidak dibenarkan memandu langsung ketika di bawah pengaruh alkohol, walaupun belum lagi mabuk.
“Mereka boleh dikatakan tidak siuman dan seharusnya perlu balik menaiki teksi atau tidak dibenarkan pulang langsung sehingga ada keluarga yang datang mengambil.
“Tahap bawah sedar mereka adalah sama seperti dadah jenis CNS depressant seperti Barbiturate (ubat bius) dan nitrazepam yang merupakan ubat tidur,” katanya.
Katanya, apabila individu itu mabuk yang menyebabkan berada dalam keadaan bawah sedar, mereka boleh melakukan pelbagai perlakuan jenayah seperti membunuh, sumbang mahram, penderaan kepada isteri dan anak-anak.
Pada masa ini, paras BAC yang diguna pakai di negara ini adalah 0.08.
Banyak negara di dunia menurunkan paras BAC kepada 0.05, antaranya Hungary, Romania dan Republik Czech.
Brazil perkenalkan peraturan pemanduan mabuk pada 1998 pada kadar BAC 0.06, yang diperketatkan kepada 0.02 pada tahun 2008, dan kesannya angka kematian menurun sebanyak 16 peratus di Sao Paulo.
Dr Rusdi berkata, undang-undang yang ada di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 sudah memadai namun pelaksanaan undang-undang itu agak kurang dilaksanakan.
Pemeriksaan ujian pernafasan alkohol, contohnya, agak kurang dilakukan di Malaysia, katanya.
“Saya diberitahu kalau di negara barat hampir setiap bulan pemandu kena ujian pernafasan alkohol.
“Aspek yang boleh dipertingkatkan di Malaysia ialah aspek pendidikan masyarakat mengenai bahaya alkohol terutama mereka yang berisiko tinggi untuk minum alkohol,” katanya.