KUALA LUMPUR – Bil elektrik pengguna meningkat antara 25 hingga 40 peratus sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan peningkatan penggunaan elektrik.
Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N Marimuthu, berkata hasil pemerhatian, FOMCA mendapati peningkatan penggunaan elektrik menyebabkan bacaan bil akan masuk dalam tarif blok kedua atau ketiga.
Katanya, ini kerana bacaan bil yang diperkenalkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) berdasarkan sekatan tarif.
“Berdasarkan penggunaan, maka bil akan menjadi tinggi kerana penggunaan pelanggan meningkat. Semakin banyak penggunaan elektrik, semakin tinggi bilnya kerana sekatan tarif dibuat seperti itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Marimuthu berkata, pihaknya mahu blok tarif khas kepada semua pengguna domestik dan komersial diperkenalkan untuk Mac, April dan Mei iaitu dengan meningkatkan blok tarif pertama kepada 300kWh untuk setiap bulan.
Ketika ini blok tarif pertama adalah untuk 200kWh penggunaan elektrik pada kadar 21.8 sen; blok 100kWh kedua pada 33.4 sen dan 300kWh blok ketiga pada 51.6 sen.
Pada masa yang sama, beliau menasihatkan pengguna menjimatkan penggunaan elektrik dan terus menikmati diskaun bil tenaga pada kadar 50 peratus bagi penggunaan tenaga di bawah 200 kilowatt, 25 peratus antara 201 dan 300 kilowatt dan 15 peratus antara 301 dan 600 kilowatt.
“Kerajaan juga memutuskan untuk memberi diskaun dua peratus kepada semua pengguna lain dalam kategori perdagangan, perindustrian dan pertanian spesifik serta pengguna domestik bagi penggunaan elektrik pada tempoh itu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau meminta TNB meningkatkan mutu perkhidmatan aduan dan pertanyaan pengguna kerana ramai yang masih keliru dengan bil prorata berkenaan.
“Kami menjangkakan lebih ramai pengguna akan menghubungi TNB apabila mereka menerima bil elektrik nanti. TNB harus memastikan semua aduan ditangani dengan pantas dengan maklumat yang tepat,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya TNB menetapkan panggilan pengguna dilayan tanpa menunggu sehingga 10 minit dan kadar caj panggilan dapat dikurangkan.
“Ketika ini caj panggilan bebas tol 1300-88-5454 adalah mahal. Perkara ini perlu ditangani dengan baik kerana ia boleh memberikan persepsi negatif kepada TNB. Setiap aduan dan maklum balas pengguna perlu dikendalikan dengan baik dan konsisten,” katanya.
Marimuthu turut meminta Suruhanjaya Tenaga serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mendidik pengguna mengenai pelaksanaan kaedah prorata bagi tarif elektrik yang bertujuan menjimatkan tenaga dan mengurangkan caj bayaran utiliti pengguna.
“Ketika ini, ramai pengguna berasakan TNB mengenakan caj yang tinggi sedangkan kaedah prorata itu sudah disemak dan disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga untuk digunakan TNB,” katanya.
Beliau juga menggalakkan orang ramai menggunakan kaedah sistem Bacaan Meter Sendiri (SMR) yang mana membolehkan pengguna memasukkan bacaan meter mereka sendiri ke dalam sistem supaya mendapat bil elektrik yang tepat dan tidak lagi bergantung kepada kaedah bil anggaran.
“TNB juga perlu mempromosikan Pelan Bayaran Mudah (PBM) yang menawarkan pengecualian surcaj pada pembayaran lewat dan lanjutan penangguhan pemotongan bekalan kepada 7.5 juta pelanggan,” katanya
Menurutnya, secara teknikal, TNB adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dikawal selia oleh kerajaan, maka sebarang perubahan harga tenaga perlu mendapatkan kelulusan dan nasihat kementerian berkenaan.
“Pengguna yang tidak puas hati dengan TNB berhubung bil elektrik boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Tenaga dan FOMCA,” katanya. – BH Online