LANGKAWI – Kerajaan diminta mewujudkan satu pangkalan khas dan menggunakan teknologi baharu seperti dron bagi tujuan pemantauan serta mengawasi kawasan perairan utara pulau bagi mengekang kemasukan pelarian etnik Rohingya.
Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad berkata, pelarian etnik Rohingya yang berjaya bolos masuk ke pulau ini menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Antara yang dibimbangi sekiranya pelarian itu positif COVID-19 atau tidak menerima vaksin yang baik seterusnya memberi kesan kepada penduduk atau pelancong di pulau ini.
“Justeru kita harap kerajaan boleh beri pertimbangan bagi mewujudkan satu pusat atau pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di kawasan perairan utara Langkawi, TLDM sudah ada pangkalan di selatan pulau ini tetapi time taken untuk travel dari selatan ke utara mengambil masa 45 minit hingga sejam.
“Kerajaan juga boleh guna teknologi baharu seperti dron yang lebih murah berbanding helikopter untuk mengawal kawasan perairan utara pulau ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Nor Saidi Nanyan.
Pada Isnin, 269 warga Rohingya yang cuba menceroboh perairan Langkawi ditahan dengan pihak berkuasa turut menemukan mayat seorang wanita dalam bot yang dinaiki pendatang tanpa izin itu.
Sementara itu Nor Saidi berharap kerajaan mengguna pakai pengalaman di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) untuk membantu tugas pengawasan dan pemantauan di perairan Langkawi.
“Pengalaman ESSCom boleh dipraktikkan serta diguna untuk menangani isu kemasukan Rohingya di Langkawi.
“Ini perlu kerana difahamkan masih banyak lagi bot membawa pelarian menunggu masa untuk masuk ke Malaysia,” katanya.