PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang mengubah suai lambang Jata Negara.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau telah meminta PDRM untuk bertindak segera.
“Seksyen 3 (1)(a) Akta Lambang dan Nama (1963) memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa yang meniru lambang yang serupa lambang kerajaan Persekutuan, Jata Negara.
“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak melakukan tindakan yang tidak patriotik dan bertanggungjawab ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan memanggil pihak yang terlibat dengan penerbitan buku itu.
“Kita telah menerima laporan mengenai perkara itu dan akan menyiasat serta memanggil pihak berkenaan termasuk pengarang dan penerbitnya,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial satu pautan Facebook sebuah syarikat buku yang mengiklankan buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ disunting oleh penulis, Kean Wong.
Buku itu mempamerkan logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan.
Lukisan mirip Jata Negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta mengubah suai bentuk dua ekor harimau selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.
Susulan itu, Pemuda dan Wanita UMNO tampil mendesak KDN mengambil tindakan segera dan tegas terhadap penulis, penyunting serta penerbit buku berkenaan.
Perbuatan itu dilihat seolah-olah merendah-rendahkan martabat Jata Negara dan menghina lambang rasmi kedaulatan Malaysia. – Sinar Harian