Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Najib Tanya Azmin, Adakah...

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak minta Datuk Seri Azmin Ali...

Pusat Pemantauan Berpusat KL...

KUALA LUMPUR - Sebuah pusat pemantauan berpusat untuk memantau operasi KL Sentral, dicadang diwujudkan,...

Cincin Berlian Rekaan Shuib...

 PUTRAJAYA: Majlis persandinagan sempena ulang tahun keenam perkahwinan Shuib (Sepahtu) dan Siti Sarah...

Insafi Kisah Nasib Umat...

BARU-BARU ini masyarakat Melayu gempar dengan tindakan provokasi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)...

Kepercayaan Kepada Tuhan Bentuk Rakyat, Malaysia Berdaulat

KUALA LUMPUR – Setiap prinsip terkandung dalam Rukun Negara sebenarnya mempunyai matlamat tertentu dan maksud tersirat yang harus dihayati dan dipraktikkan rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.

Menyedari kepelbagaian agama yang dianuti masyarakat di negara ini, Kepercayaan Kepada Tuhan dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara untuk rakyat berpegang teguh kepada kepercayaan masing-masing, demi kebaikan bersama untuk membina negara Malaysia yang berdaulat.

Biarpun Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam ialah agama Persekutuan, agama dan kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian dalam negara ini, supaya perpaduan terus mantap dalam kalangan rakyat Malaysia.

Memperincikan prinsip pertama Rukun Negara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata prinsip itu dapat dilihat dengan jelas dalam suasana harmoni rakyat negara ini yang menerima dan mengamalkan perbezaan agama untuk saling menghormati antara satu sama lain.

“Manusia tidak boleh lari daripada kehidupan ingin bertuhan dan akan menjadikan kehidupan mereka ke arah kebaikan dan kebenaran. Bila ada amalan ini, manusia akan rasa dipimpin, ada batasan dan sedar apa yang Tuhan suka atau tidak suka dalam amalan seharian manusia.

“Secara tidak langsung, ia membuatkan seseorang manusia bertimbang rasa, menjauhi kejahatan dan melakukan sesuatu tindakan bijak dan sewajarnya,” katanya kepada Bernama sempena sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan 2020, yang dijadual 7 Julai ini.

Rukun Negara mengandungi lima prinsip – Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan. Ia diisytiharkan pada 31 Ogos, 1970 bagi memperkukuh dan mengembalikan perpaduan kaum di Malaysia susulan peristiwa 13 Mei, 1969.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, berdasarkan pegangan agama masing-masing dan berpandukan kepada prinsip Kepercayan Kepada Tuhan telah membentuk rantaian kasih sayang dalam kalangan rakyat negara ini tanpa mengabaikan hak seseorang.

Tegas beliau, ini membolehkan Malaysia dipandu ke arah sebuah negara bertaraf maju dan lebih berdaya saing dengan menggunakan kekuatan kemajmukan yang tersimpul kemas sejak sekian lamanya.

“Saya yakin dan percaya, jika kesedaran wujud dan dipupuk di bangku sekolah lagi, maka kefahaman tentang Rukun Negara ini dapat diterjemahkan ke dalam realiti kehidupan kita semua,” katanya.

Dalam mendepani cabaran kecanggihan teknologi termasuk media sosial sehingga ada pihak mempertikaikan prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan, Zulkifli berkata perkara itu perlu ditangani secara bersama dengan mengambil pendekatan sebaiknya tanpa memaksa mana-mana pihak untuk menerima sesuatu agama.

Sementara itu, Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS), Datuk R.S. Mohan Shan berkata prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan itu adalah asas kepada nilai-nilai murni pembentukan manusia tidak kira apa jua latar belakang agama dan kepercayaan.


Beliau berkata, seharusnya prinsip itu diterapkan dalam kehidupan manusia khususnya golongan belia dalam mendepani cabaran media sosial yang boleh mengganggu-gugat kepercayaan mereka sehingga mengubah jati diri serta kelakuan masing-masing.

“Kita semua, tidak kira apa agama sekalipun, kena ambil tahu kepercayaan yang kita pegang. Agama tidak ajar kita menghina, mencaci agama lain untuk keuntungan dan kepentingan diri sendiri,” katanya, sambil berharap sambutan ulang tahun Rukun Negara 2020 mampu mengeratkan lagi hubungan kesemua penganut agama di negara ini. 

Dalam pada itu, Presiden Majlis Gurdwara Malaysia, Sardar Jagir Singh berkata semua pihak perlu bertanya diri sendiri dan bermuhabasah mengenai kepentingan Rukun Negara dicipta dan diwujudkan untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan negara.

Tegasnya, memandangkan dunia semakin maju dengan teknologi dan media sosial, platform itu perlu digunakan untuk menjelaskan kembali objektif dan matlamat penubuhan Rukun Negara serta kepentingan untuk menerapkannya dalam kehidupan seharian segenap lapisan masyarakat.

“Zaman saya dahulu guna buku sekolah untuk baca, hafal dan fahamkan prinsip-prinsip Rukun Negara. Seharusnya zaman ini lagi mudah dan tidak menjadi masalah bagi rakyat Malaysia,” katanya.

Presiden Persatuan Dhammaduta Malaysia, Sister Loh Pai Ling pula berkata prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan itu amat penting untuk diterapkan kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Walaupun berbilang agama dan bangsa, terdapat nilai kerohanian yang sama dalam agama masing-masing, umpamanya cinta-menyintai, amalan kebaikan menyayangi serta demi kebaikan dan kesejahteraan semua umat manusia, tanpa mengira bangsa dan agama, warna kulit dan kepercayaan.

“Terdapat cukup persamaan antara semua agama yang berada di Malaysia untuk semua penganut agama bekerjasama mempromosi persefahaman satu sama lain dan seterusnya tercapai keadaan aman damai bersama-sama,” katanya. 

Beliau berkata perpaduan dalam masyarakat majmuk di Malaysia terserlah, dan semua pihak perlu memahami bahawa agama wujud untuk kebaikan umat manusia dan tidak boleh disalahgunakan secara fanatik dengan cara apa sekali pun untuk kepentingan peribadi atau memuliakan diri sendiri.

“Oleh itu, sebagai penganut agama yang ikhlas dan benar, marilah kita semua berganding bahu untuk membendung segala kontroversi dan diskriminasi dalam ajaran kita dan melakukan yang terbaik untuk mempromosi persefahaman dan keharmonian antara agama sebagai asas untuk memupuk dan memanfaatkan keamanan, kedamaian dan kestabilan negara,” katanya. – BERNAMA

Kategori