KUALA LUMPUR – Organisasi Ratu Cantik Malaysia (MUMO) mengambil pendirian menjarakkan diri dengan kenyataan ” memilih untuk dilahirkan coloured” oleh bekas Ratu Cantiknya, Samantha Katie James.
Persatuan itu melalui satu kenyataan rasmi menegaskan, kenyataan Samantha di akaun media sosialnya adalah pandangan peribadi Samantha semata-mata.
“Kami juga mengambil maklum bahawa itu adalah tidak wajar, mencerca, tidak dapat diterima dan melukakan,” katanya.

MUMO menjelaskan Samantha tidak lagi mewakili organisasi itu sejak Jun 2018.
Kenyataan Samantha yang disiarkan di akaun Instagram peribadinya menasihatkan rakyat berkulit hitam di Amerika Syarikat agar bertenang dan jangan merusuh berikutan kematian seorang lelaki kaum itu, George Floyd baru-baru ini.
Kematian George dipercayai akibat sesak nafas ketika hendak ditahan dengan cara yang kasar oleh empat polis lelaki kulit putih.
Kenyataan Samantha itu dianggap banyak pihak sebagai biadap dan menghina kaum kulit hitam.