KUALA LUMPUR – Pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan ekonomi baik di Malaysia mahu pun di negara-negara lain disifatkan wajar dalam usaha mengelak impak negatif itu daripada terus berleluasa serta berlanjutan bagi jangka panjang, demikian menurut pakar ekonomi.
Profesor Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng berkata impak kesihatan serta kejutan ekonomi akibat virus COVID-19 itu sememangnya tidak dijangkakan yang menyebabkan hampir seluruh ekonomi dunia termasuk Malaysia terpaksa ditutup selama beberapa bulan demi membendung penularannya.
Berikutan itu, Malaysia telah mengumumkan usaha termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM260 bilion dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sebanyak RM35 bilion dalam usaha menangani kesan terbabit.
Ditanya sama ada ini turut menyebabkan defisit fiskal negara meningkat dua kali ganda tahun ini, Yeah berkata keadaan itu tidak dapat dielak akibat gangguan bekalan serta permintaan susulan pelaksanaan langkah sekatan pergerakan bagi membendung COVID-19.
“Jangkaan peningkatan defisit fiskal tahun ini bukanlah keutamaan selagi bantuan fiskal dan langkah rangsangan itu dilaksanakan secara berkesan dengan ketirisan dan pembaziran dapat diminimumkan. Pada masa sama, ia membolehkan kerajaan mampu menyambung semula usaha pengukuhan fiskal sebaik keadaan ekonomi kembali pulih,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mengulas sama ada defisit fiskal itu meningkat sekitar 6.0 peratus daripada pengeluaran tahunan ekonomi tahun ini berikutan pelaksanaan langkah-langkah rangsangan itu (2019:-3.5 peratus), Yeah berkata berdasarkan paras semasa, masih terdapat ruang bagi jumlah hutang kerajaan menjadi sebahagian daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan nisbah khidmat hutang meningkat sedikit.
Ini berlaku tanpa mengetepikan kebimbangan mengenai hutang dan kemapanan fiskal serta kemungkinan akan menyebabkan penurunan semakan penarafan negara.
“Kerajaan bagaimana pun mungkin perlu mempertimbang aspek untuk mengurangkan bebanan hutang dengan menghidupkan jadual projek infrastruktur mega sedia ada dan baharu, meningkatkan jualan aset dan ekuiti dan mendapatkan peluang kerjasama awam-swasta (PPP) bagi menyelamatkan syarikat berkaitan kerajaan serta industri yang terjejas teruk akibat pandemik itu,” katanya.
Diminta mengulas pendirian Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung pandemik itu, Yeah berkata bank pusat itu telah bertindak awal serta agresif bagi mengurangkan kadar faedah dan kelonggaran dasar monetari bagi menangani impak COVID-19.
“Sokongan monetari dan fiskal yang diselaraskan menerusi pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan itu akan memberi impak lebih teratur dan besar bagi meringankan impak kesukaran ekonomi dan menyediakannya bagi pemulihan yang lebih pantas.
“Dengan mengurangkan kemuflisan korporat dan individu serta menyelamatkan perniagaan dan pekerjaan, ekonomi akan mempunyai kapasiti lebih besar untuk bangkit semula apabila kesihatan awam dan keadaan ekonomi kembali normal,” kata Yeah.
Mengenai sasaran Malaysia untuk mengurangkan defisit fiskal turun kepada kurang daripada 4.0 peratus daripada KDNK dalam tempoh kira-kira tiga tahun akan datang (2019:-3.5 peratus), beliau berkata trajektori defisit fiskal sederhana 4.0 peratus itu adalah sasaran realistik memandangkan ketidakpastian berhubung bentuk pemulihan ekonomi global.
“Sesetengah ahli ekonomi dan penganalisis mengunjurkan pemulihan pantas atau pemulihan ekonomi dalam lengkung berbentuk ‘V’ yang diterajui oleh penemuan vaksin pada 2021.
“Manakala mereka yang lebih optimis meramalkan pemulihan berbentuk ‘U’ bergantung bukan hanya kepada vaksin atau rawatan yang efektif tetapi juga kepada realiti baharu pertelingkahan perdagangan Amerika Syarikat-China yang semakin sengit.
“Meskipun sasaran mudah ditetapkan, cabaran yang dihadapi kerajaan adalah untuk mendapatkan kredibiliti dan menunjukkan komitmen dan keupayaannya untuk mencapai sasaran menerusi pengurusan fiskal dan kewangan yang berhemat dan efektif,” kata Yeah.
Sementara itu, Pakar Ekonomi bebas Dr. Baayah Baba berkata defisit 6.0 peratus sudah tentunya tidak terlalu tinggi.
“Sekiranya ekonomi mencatatkan prestasi baik kita boleh mengurangkan balik defisit kepada sekitar 3.0 peratus,” katanya sambil menambah dasar fiskal adalah lebih pantas (dari segi keputusan) dan boleh digunakan untuk menjana aktiviti ekonomi lebih pantas berbanding dasar monetari, walaupun melakukan kedua-duanya (dasar monetari dan fiskal) adalah baik.