Sunday, December 15, 2024

Creating liberating content

Program Penggajian, Penempatan Semula...

PUTRAJAYA - Kerajaan akan melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula pendatang asing tanpa...

Selepas 5 Bulan, Apa...

KUALA LUMPUR - Peguam Negara, Tommy Thomas dan Ketua Polis Negara, Tan Sri...

Bimbang ‘Ditendang’ Suami, Anzalna...

WALAUPUN sudah mendirikan rumah tangga, pelakon Anzalna Nasir dilihat terus aktif berlakon di...

Cari Tapak Sesuai Untuk...

IPOH - Kerajaan Perak masih mencari tapak yang sesuai untuk pembinaan lapangan terbang...

Perjelas Cadangan Azhar Sebagai Speaker Parlimen Baharu

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) memohon penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mencadangkan pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu.

Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil berkata, pihaknya baru mendapat maklum mengenai perkara itu dan sekiranya ia benar, cadangan itu disifatkan janggal kerana Azhar Azizan adalah lantikan bekas Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad selain dikenali penyokong tegar pakatan itu.

Menurutnya, faktor berkemungkinan besar cadangan itu dibuat kerana Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional mungkin ingin mendapatkan sebahagian undian daripada blok pembangkang apabila dibuat di Parlimen bagi melantik Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya apabila Parlimen bersidang pada 13 Julai hadapan.

“Jika ini benar, ia adalah sesuatu cadangan yang agak janggal kerana Azhar (Azizan) Harun adalah lantikan Dr Mahathir dan PH dahulu dan sememangnya penyokong tegar PH.

“Dengan segala hormat, tanpa prejudis dan dengan hati yang terbuka dan ikhlas saya ingin bertanya: Adakah YAB Perdana Menteri (Muhyiddin) tidak yakin yang kerajaannya akan mendapat cukup undi di Parlimen sehingga perlu melantik Speaker yang berkecondongan pembangkang (PH)?

“Mohon YAB Tan Sri (Muhyiddin) memberi pencerahan dengan ikhlas dan hati yang terbuka juga,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.

Sementara, laporan media tempatan mendakwa terdapat beberapa individu bukan ahli Parlimen dikaitkan dengan cadangan menggantikan tempat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohammad Ariff Yusof menjelang berlangsungnya kembali sidang Parlimen bulan hadapan.

Selain Azhar Azizan yang disebut-sebut pilihan utama, nama bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia turut dikaitkan dengan jawatan penting Dewan Rakyat itu bersama seorang lagi bekas peguam.

Menurut laporan akhbar The Star, sumber terdekat mendedahkan pemilihan pemimpin bukan ahli Parlimen diutamakan kerajaan Perikatan Nasional bagi dilantik Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana kerajaan baharu itu memerlukan penglibatan setiap ahli Parlimen menyokongnya di kerusi persidangan.

Penglibatan setiap daripada mereka penting bagi memastikan usul undi tidak percaya kepimpinan Muhyiddin dikemukakan Pakatan Harapan tidak berhasil.

“Muhyiddin amat memerlukan penglibatan semua ahli Parlimen di kerusi Parlimen masing-masing sewaktu persidangan berlangsung.

“Justeru, Speaker (Yang Dipertua) Parlimen perlu dilantik dalam kalangan bukan ahli Parlimen,” kata sumber kepada The Star.


Isu pelantikan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat sehingga kini dianggap sangat sulit dengan Muhyiddin dikatakan boleh membuat keputusan mengejut pada saat akhir.

Terdahulu, persidangan Parlimen bermula 13 Julai hadapan dikatakan bakal menyaksikan usaha kerajaan Perikatan Nasional ‘menukarkan’ Mohamad Ariff dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan Timbalannya, Nga Kor Ming dari DAP yang dilantik pada waktu pentadbiran kerajaan PH.

Bagaimana pun, seorang lagi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang menyokong Perikatan Nasional pula akan dikekalkan.

Difahamkan, terdapat dua usul dikemukakan Muhyiddin selaku Ketua Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada petang Jumaat lalu bagi ‘menyingkirkan’ kedua-dua pemimpin itu.

Berdasarkan maklumat dari sumber terdekat kerajaan, usul itu dikemukakan Muhyiddin sangat lewat dan hanya 10 minit sebelum tempoh tamat penghantaran usul iaitu jam 5 petang.

Bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang bakal dikosongkan, terdapat spekulasi mendakwa bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Seri Azalina Othman Said antara nama disebut-sebut untuk menggantikan Kor Ming.

Namun begitu, spekulasi itu disifatkan Azalina sebagai tidak matang kerana usul menggantikan dan memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu perlu dikemukakan di Parlimen terlebih dahulu.

Sinar Harian melaporkan kenyataan Pakar Undang-Undang, Profesor Datuk Salleh Buang yang menegaskan usul pertukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya tidak melanggar doktrin pemisahan kuasa, sebaliknya sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, usul tersebut sememangnya boleh dilakukan oleh Muhyiddin selaku Ketua Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Badan Legislatif) di bawah Perkara 57 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Pakar Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, usul bagi pertukaran Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pula boleh dilakukan Muhyiddin mengikut Perkara 57 (2A) Perlembagaan Persekutuan dengan bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan sedemikian. – Sinar Harian

Kategori