ROME: Virus korona COVID-19 semakin lemah dan keupayaannya menyebabkan maut juga berkurangan, kata seorang doktor mapan Itali pada Ahad (31 Mei).
“Pada hakikatnya, virus itu secara klinikal tidak lagi wujud di Itali,” kata Alberto Zangrillo, ketua Hospital San Raffaele di Milan di wilayah Lombardy di utara, yang paling teruk terjejas akibat penularan virus korona di Itali.
“Ujian swab yang dilakukan sepanjang 10 hari lalu menunjukkan beban virus secara kuantitatif yang terlalu kecil dibandingkan dengan hasil ujian swab yang dilakukan sebulan atau dua bulan yang lalu,” katanya kepada stesen televisyen RAI.
Itali mempunyai angka korban COVID-19 ketiga tertinggi di dunia, dengan 33,415 orang terkorban sejak wabak itu muncul pada 21 Februari. Ia mempunyai jumlah kes jangkitan yang keenam tertinggi iaitu sebanyak 233,019 kes.
Bagaimanapun, jumlah jangkitan dan kematian baru telah merosot dengan stabil pada Mei dan negara tersebut sedang melonggarkan antara sekatan pergerakan paling ketat yang diperkenalkan di mana-mana negara-negara di benua Eropah.
Dr Zangrillo berkata sebilangan pakar terlalu menggembar-gemburkan kemungkinan gelombang jangkitan kedua dan para ahli politik perlu mengambil kira kebenaran baru.
“Kita harus kembali menjadi sebuah negara biasa,” katanya. “Ada orang yang harus bertanggungjawab kerana menakut-nakutkan negara ini.”
Pemerintah menggesa orang ramai agar berwaspada, dengan menyatakan bahawa masih terlalu awal untuk mengisytiharkan kemenangan.
“Sementara menantikan bukti saintifik untuk menyokong tesis bahawa virus itu telah hilang … Saya ingin menyeru mereka yang mengatakan mereka yakin dengan perkara itu supaya tidak mengelirukan warga Itali,” kata Sandra Zampa, seorang setiausaha kementerian kesihatan, dalam satu kenyataan.
“Sebaliknya kita harus mengajak warga Itali untuk mengekalkan tahap berjaga-jaga maksimum, menjaga jarak fizikal, elakkan perhimpunan ramai, kerap mencuci tangan dan memakai pelitup.”
Seorang lagi doktor dari utara Itali memberitahu agensi berita nasional ANSA bahawa beliau juga melihat virus korona itu melemah.
“Kekuatan yang dimiliki virus itu dua bulan lalu tidak sama dengan kekuatannya sekarang,” kata Matteo Bassetti, ketua klinik penyakit berjangkit di hospital San Martino di bandar Genoa.
“Jelas bahawa hari ini penyakit COVID-19 adalah berbeza.”