JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan meneliti keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).
Menterinya, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau sudah menerima memorandum daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagi mendesak kerajaan menubuhkan RCI TH.
“Sekalung penghargaan diucapkan kepada Dr Asyraf. Insya-Allah saya akan teliti dengan penuh adil dan amanah,” katanya melalui hantaran di Facebook.
Kelmarin media melaporkan beberapa ahli parlimen mencadangkan RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) yang lalu.
Cadangan itu diutarakan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang juga bekas pengerusi TH, sewaktu bangun mencelah ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan mesyuarat Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 pada persidangan Dewan Rakyat.
Abdul Azeez berkata, cadangan penubuhan suruhanjaya ini diutarakan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bagi menyiasat secara telus dan menjawab segala dakwaan berkaitan institusi kewangan umat Islam berkenaan. – myMetro Online