KUALA LUMPUR – Editor buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia yang gambar kulit bukunya didakwa menghina Jata Negara dikesan sudah melarikan diri ke luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata lelaki warga tempatan itu didapati ke luar negara sejak 21 Januari lalu, hasil semakan terhadap dokumen perjalanannya.
“Dia (editor) sudah keluar Malaysia, namun kami tidak dapat memastikan keberadaan suspek serta lokasinya. Pihak JSJ sudah menyenaraikannya sebagai Orang yang Dikehendaki dan akan ditangkap selepas dikesan,” katanya kepada BERNAMA, hari ini.
Huzir berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Interpol dan akan mengeluarkan notis merah sekiranya suspek dikesan di mana-mana negara.
Katanya setakat ini polis sudah merakam keterangan lapan daripada 28 penulis yang menyumbang artikel untuk buku itu, manakala bakinya sedang dikesan.
“JSJ juga akan meminta bantuan Cawangan Khas sekiranya artikel yang disumbangkan 28 penulis buku itu mempunyai unsur-unsur ancaman keselamatan dan sebagainya,” katanya sambil memaklumkan sebanyak 203 laporan polis diterima berhubung kes itu di seluruh negara.
Siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Buku Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope In New Malaysia yang disunting penulis, Kean Wong itu mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara mendapat perhatian kerana menggunakan gambar yang dikatakan menghina Jata Negara.
Perkara berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi selepas ia tersebar dan tular di media sosial menyebabkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta parti politik membuat laporan polis dan menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap pihak terbabit. – BERNAMA