KUALA LUMPUR – Kajian semula terhadap had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional dibuat bagi mendapat gambaran mengenai perbelanjaan dan keperluan penduduk Malaysia dengan lebih tepat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata usaha penambahbaikan kaedah pengukuran kemiskinan itu bermula daripada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe-11) pada 18 Oktober 2018.
Bertitik tolak dari itu katanya, kerajaan telah mengkaji semula metodologi penetapan PGK supaya ia lebih menggambarkan corak perbelanjaan dan keperluan serta demografi semasa isi rumah, seiring dengan kemajuan yang dicapai oleh negara sejak tahun berkenaan.
“Kajian ini telah dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) dengan kerjasama DOSM, Kementerian Kesihatan, dan beberapa kementerian serta agensi yang berkaitan bermula Mac 2019 sehingga Jun 2020.
“Hasil daripada kajian semula yang dijalankan, metodologi penetapan PGK telah ditambahbaik dalam tiga aspek iaitu konsep penetapan PGK makanan yang diperkemaskan daripada ‘minimum’ kepada ‘optimum minimum’.
“Ia dengan mengambil kira peningkatan kualiti item bakul makanan berdasarkan Piramid Makanan 2020 dan kumpulan makanan Panduan Diet Malaysia (PDM) 2020 selaras dengan aktiviti fizikal harian dan kehidupan yang sihat.
“Sebagai contoh, susu pekat manis yang dimasukkan dalam bakul makanan sebelum ini telah ditukarkan kepada susu tepung yang lebih sihat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Mustapa berkata, bagi PGK bukan makanan pula, keperluan kumpulan isi rumah berpendapatan 20 peratus terendah (B20) yang dikenal pasti telah bertambah dari 106 kepada 146 item.
Ini bermakna katanya, 40 item yang dahulunya tidak dianggap sebagai keperluan asas kepada kumpulan B20, kini telah dimasukkan ke dalam senarai terbabit.
“Selain itu, perubahan corak perbelanjaan isi rumah, harga barangan dan perkhidmatan semasa pada tahun 2019 berbanding tahun 2005 juga diambilkira,” katanya.
Mustapa berkata, selain menggunakan PGK, kerajaan turut menggunakan beberapa kaedah lain dalam mengukur kemiskinan rakyat.
Salah satu daripadanya adalah dengan menggunakan kaedah pengukuran kemiskinan berasaskan pelbagai dimensi yang menekankan aspek-aspek peningkatan kualiti hidup seperti aspek kesihatan, pendidikan, perumahan, taraf hidup, akses kepada maklumat, dan juga pendapatan bulanan isi rumah.
“Usaha menambahbaik kaedah pengukuran kemiskinan ini adalah manifestasi kesungguhan, keprihatinan dan ketelusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat.
“Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan termasuk Kerajaan Negeri perlu mengambil maklum PGK 2019 dalam merancang dasar dan program mereka serta mengkaji semula dasar berkaitan pembasmian kemiskinan dan bantuan sosial termasuk semakan semula kumpulan sasar di bawah seliaan dan tanggungjawab mereka dalam masa lima bulan akan datang.
“Berpandukan statistik yang tepat, kerajaan akan dapat menggubal dasar dan strategi serta merangka program yang lebih sesuai, dinamik dan pragmatik untuk setiap kumpulan sasar terutamanya golongan miskin. Ini termasuklah dalam menyediakan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), 2021-2025 yang akan dibentangkan awal tahun depan,” katanya.
Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini menerusi laporannya mengumumkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) keseluruhan nasional adalah sebanyak RM2,208 sebulan bagi satu isi rumah pada tahun 2019.
Angka itu adalah nilai PGK baharu yang diperolehi setelah Kerajaan mengkaji semula metodologi pengiraannya.
Mustapa berkata, metodologi pengiraan PGK itu kali terakhir dikemaskini pada tahun 2005 dan PGK pada tahun 2016 adalah sebanyak RM980 sebulan bagi satu isi rumah.
“Berdasarkan PGK baharu ini, kadar kemiskinan adalah 5.6 peratus (405, 441 isi rumah) bagi tahun 2019. Kadar kemiskinan pada tahun 2016 adalah 0.4 peratus (24,700 isi rumah) yang diukur berdasarkan metodologi PGK 2005.
“Sekiranya metodologi PGK 2019 digunakan untuk mengukur kadar kemiskinan pada tahun 2016, peratusannya adalah 7.6 peratus (525, 743 isi rumah),” katanya. – BH Online