PUTRAJAYA – Pendidikan Rukun Negara perlu dijadikan agenda teras kerajaan bagi memastikan Rukun Negara sentiasa menjadi amalan dalam masyarakat untuk diwarisi dari satu generasi ke satu generasi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, perlu ada usaha bersungguh-sungguh oleh semua pihak untuk menyemarakkan penghayatan prinsip dan nilai yang terkandung dalam Rukun Negara terutama bagi mengeratkan perpaduan rakyat di negara ini.
“Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia boleh menerajui pelaksanaan agenda ini menerusi pelbagai program, inisiatif dan aktiviti di bawah kementerian dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan, swasta dan masyarakat sivil.
“Saya percaya usaha yang bersungguh-sungguh digembleng oleh semua pihak, kita akan berjaya menyemarakkan penghayatan prinsip dan nilai Rukun Negara demi mengeratkan perpaduan rakyat di negara ini,” katanya ketika melancarkan Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasirudin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin pada 31 Ogos 1970 bagi mencapai perpaduan lebih erat antara rakyat susulan peristiwa 13 Mei 1969.
Ia mengandungi lima prinsip yang menjadi falsafah negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.
Muhyiddin berkata, rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik dan cintakan negara perlu sentiasa menjunjung prinsip Rukun Negara yang diperkenalkan sejak di bangku sekolah lagi yang bukan sahaja sentiasa disebut, malah telah sebati dalam jiwa sanubari rakyat Malaysia.
Jelasnya, kelima-lima prinsip itu tercatat di dalam buku-buku latihan, papan tanda, dinding sekolah dan di tempat-tempat yang mudah dibaca untuk diketahui dan diingati.
“Sebenarnya bukanlah sukar untuk menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara asalkan kita mempunyai kesedaran untuk sentiasa mengeratkan perpaduan dan memelihara keharmonian melalui prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara,” katanya.
Sambutan jubli emas Rukun Negara dianjurkan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Perpaduan Negara itu disiarkan secara langsung di Bernama TV (Astro 502, myFreview 121 dan unifi TV 631), RTM, Astro Awani serta platform media sosial. – BERNAMA