KUALA LUMPUR – Sektor ekonomi yang terjejas akibat COVID-19 kini telah kembali rancak dan jika trend ini berterusan, ekonomi negara dapat pulih dengan lebih cepat, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata keadaan ini mampu dicapai sekiranya semua rakyat dapat mengamalkan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurutnya, kerajaan akan terpaksa memperkenalkan semula langkah-langkah lebih ketat sekiranya rakyat mengambil mudah SOP dan kes jangkitan meningkat.
“Jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan semua, ekonomi negara akan terjejas teruk,” katanya dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang disiarkan secara langsung di RTM, Bernama, TV3 dan Astro Awani.
Perdana Menteri turut melahirkan kebimbangannya berikutan kewujudan empat kluster baru sejak 7 Julai yang berlaku di Sarawak, Melaka, Terengganu dan Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara pada -2 peratus hingga 0.5 peratus tahun ini manakala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) -3.8 peratus dan Bank Dunia -3.1 peratus. – BERNAMA