PENYERTAAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Muafakat Nasional (MN) dipersetujui secara prinsip.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, sehubungan itu, jawatankuasa pemandu Muafakat Nasional akan memperincikan draf piagam dan memorandum persefahaman (MoU) sedia ada di antara PAS dan UMNO bagi menerima gabungan parti baharu itu.
“Proses perbincangan (pemurnian piagam dan MoU) antara semua pihak perlu dijalankan secara berperingkat. Yang penting, proses itu dilaksanakan secara semula jadi dan berperingkat dengan sesuatu keputusan (yang dibuat) biarlah semua pihak berpuas hati,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan lesen kepada beberapa penjaja di Batu Muda di sini, semalam.
Kelmarin, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan secara rasmi bahawa penyertaan Bersatu dalam MN dimuktamadkan dalam masa terdekat dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bersetuju untuk menyertai MN yang mendukung Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar.
“Kami ada menawarkan Bersatu sertai Muafakat Nasional, hasrat itu dah disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Presiden Bersatu,” kata Annuar yang juga Setiausaha Bersama Sekretariat MN.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, gabungan sesuatu parti politik tidak mudah kerana pembentukan MN sendiri mengambil masa lebih setahun untuk mencapai persetujuan.
“Adalah normal sebagai sebuah parti politik yang berbeza-beza (ideologi). Kami kena tunjukkan kematangan dalam politik, (ambil) pendekatan yang mengelak situasi tak harmoni,” katanya.
MN adalah pakatan kerjasama antara PAS dan UMNO dengan pembentukannya bertujuan menyatukan orang Melayu selain membentuk teras politik yang stabil.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, keutamaan kerajaan kini adalah memulihkan kembali ekonomi sebagai tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
“Jadi tak usah lihat daripada sudut parti…rakyat dan negara perlukan kerajaan yang stabil dan pemulihan ekonomi. Jadi apa yang pemimpin parti perlu buat ialah cari jalan ke arah kestabilan, itu yang akan kami lakukan,” katanya. – myMetro Online