RUSIA mengumumkan ia telah menemui vaksin bagi merawat penyakit Covid-19.
Pengumuman dibuat Timbalan Menteri Kesihatan negara itu, Oleg Gridnev.
“Pendaftaran vaksin yang dibangunkan di Gamelei Center akan dilakukan pada 12 Ogos ini.
“Sekarang peringkat terakhir, yang ketiga, sedang berlangsung. Ini adalah bahagian ujian dan sangat penting. Kita harus memahami bahawa vaksin itu sendiri mesti selamat,” kata Gridnev kepada wartawan di Ufa pada pagi Jumaat, seperti yang disiarkan oleh RIA Novosti.
Ujian klinikal formula itu bermula di Universiti Sechenov di Moscow pada 18 Jun melibatkan 38 sukarelawan dan lulus protokol keselamatan.
Kajian tersebut merumuskan bahawa semua orang yang mengambil bahagian mengalami kekebalan terhadap jangkitan.
Kepantasan Rusia menghasilkan vaksin telah mewujudkan kesangsian di Barat, tetapi Vadim Tarasov, seorang saintis terkemuka di Sechenov, mengatakan negaranya memiliki pengetahuan yang tinggi kerana telah menghabiskan 20 tahun mengkaji penyebaran virus.
Kelebihan itu katanya menyumbang kepada kemampuan negaranya menghasilkan vaksin.
Rusia melaporkan 870,000 kes Covid-19, yakni negara keempat paling terjejas di dunia akibat pandemik itu selepas Amerika Syarikat, Brazil dan India.
Teknologi pembangunan vakisn berkenaan bersandarkan rawatan adenovirus, yakni virus selsema yang biasa. – Mynewshub.TV