CHERAS – Beberapa fakta tidak tepat dikenal pasti menerusi video ditularkan pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut mengenai kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, hasil siasatan dan laporan yang diserahkan kepadanya oleh Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) menunjukkan tiada laporan membuktikan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh terbabit dalam kegiatan berkenaan.
“Saya sudah teliti laporan itu dan beberapa perkara dibangkitkan dalam video itu kurang tepat.
“Penguatkuasaan kegiatan judi oleh IPD Sungai Buloh itu dilakukan dengan giatnya, namun ada beberapa kelemahan dikenal pasti dalam kalangan anggota namun ia bukan kelemahan besar,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Maktab PDRM, di sini, hari ini.
Abdul Hamid berkata, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh (Superintendan Shafa’aton Abu Bakar) juga didapati menjalankan peranan dengan baik.
“JIPS berpuas hati dengan hasil siasatan dan kita dapati tidak ada anggota dan pegawai yang hidup mewah, memiliki kekayaan luar biasa atau diberikan ganjaran dan rasuah.
“Saya juga ambil kira beberapa kesulitan warga PDRM di Sungai Buloh antaranya bangunan pejabat di situ bertaraf balai,” katanya.
Beliau berkata, mereka didapati kerja dalam serba kekurangan terutama membabitkan tempat kediaman.
“Hanya 11 pegawai dapat menduduki kuarters kediaman di kawasan berkenaan manakala yang lain di merata-rata tempat.
“Saya faham kekangan saya faham kekangan anak buah saya dan akan jalankan siasatan seadilnya,” katanya. – myMetro Online