SHAH ALAM – Teka teki siapa bakal menjadi calon akan terjawab apabila Barisan Nasional (BN) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) Plus mengumumkan senarai calon mereka bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, esok.
Pengumuman bagi calon BN dan Bersatu akan dilakukan oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Md Noor di Grand Ballroom Magellan Sutera Habour.
Majlis berkenaan dijangka bermula pada jam 10.00 pagi dan turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO Online.
Bagaimanapun tidak dinyatakan adakah ia turut melibatkan parti-parti lain yang berada dalam Perikatan Nasional (PN).
PN di Sabah merangkumi Bersatu, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP) manakala BN mempunyai UMNO Sabah, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai sekutunya.
Sementara bagi calon Warisan Plus pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula akan diumumkan lebih awal iaitu jam 9.30 pagi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
DUN Sabah mempunyai 73 kerusi, pertambahan sebanyak 13 lagi kerusi berbanding 60 ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Dalam PRU 2018, BN bertanding di 60 kerusi DUN Sabah dan menang di 29 kerusi, sementara Parti Warisan Sabah (Warisan) menang di 21 kerusi. – Sinar Harian