KOTA KINABALU – Pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 bermula esok dengan seramai 16,877 anggota polis, tentera dan pasangan mereka akan mengundi di 55 pusat mengundi.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak berkata daripada jumlah itu, 7,487 merupakan anggota tentera dan pasangan serta 9,390 anggota polis.
“Bagi tujuan ini, Pusat Pengundian Awal akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata pematuhan kepada Garis Panduan Pencegahan COVID-19 seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan untuk proses undi awal itu.
Katanya, pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen calon serta pemerhati pilihan raya yang telah dilantik oleh SPR, selain SPR juga akan menyiarkan proses pengundian berkenaan secara penstriman langsung menerusi menerusi Facebook SPR.
“Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis. Kertas undi tersebut hanya akan dikira pada 26 Sept bermula jam 4 petang.
“Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan disaksikan oleh ejen calon masing-masing,” katanya.
Pilihan raya itu diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai.
SPR menetapkan 12 September sebagai tarikh penamaan calon diikuti pengundian awal 22 September dan pengundian biasa, 26 September ini.
PRN ini menyaksikan 391 calon termasuk 56 calon Bebas bertanding merebut 73 kerusi DUN termasuk 13 yang baharu diwartakan tahun lalu. – BERNAMA