TAWAU – Di sebalik kekangan berkempen dalam normal baharu, calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memanfaatkan penggunaan media sosial seperti Facebook dan Twitter untuk meraih sokongan pengundi di kawasan masing-masing.
Mereka menggunakan platform media sosial itu selain disebabkan tuntutan untuk berubah kepada teknologi komunikasi yang bergerak pantas serta kempen pembudayaan normal baharu bagi mencegah ancaman pandemik COVID-19.
Bagi calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, Andy Muhammad Suryady Bandy, kaedah kempen itu menyasarkan golongan celik teknologi khususnya golongan pengundi muda yang tidak dapat hadir dalam kempen terbuka dianjurkan kerana kekangan prosedur operasi standard (SOP).
“Kita mahu berkempen tetapi pada masa sama mahu mengelak penularan wabak COVID-19 dan disebabkan kekangan pada masa ini, kita terpaksa hadkan perjumpaan atau pertemuan kepada 250 sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata bagi jentera BN mereka akur dengan arahan itu dan akan berusaha menyantuni pengundi dengan bantuan rakan sekutu PN iaitu PAS Kalabakan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kalabakan.
“PAS kawasan Kalabakan sangat memberi kerjasama dan menyokong kita, begitu juga dengan Bersatu Kalabakan yang menyatakan kesediaan membantu kita untuk mengekalkan kerusi DUN sebagai milik BN dan PN,” katanya yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Kalabakan.
Sementara itu, calon PN di DUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan turut memanfaatkan media sosial untuk berkempen, bagaimanapun sedaya upaya beliau akan menemui semua pengundi melalui kaedah kempen rumah ke rumah.
“Kita mengikuti saranan yang ditetapkan dengan mengadakan penjarakan fizikal, saya akan meneruskan kerja saya sepertimana yang saya lakukan sebelum ini, saya sentiasa turun berjumpa rakyat, hubungan saya dengan penduduk DUN Apas akrab,” katanya.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 membabitkan 73 kerusi DUN akan berlangsung 26 September ini.
Semalam, Tawau merekodkan peningkatan 26 kes positif COVID-19 menjadikan kes aktif daerah itu sebanyak 320 kes dengan sebahagian besar kes adalah dari Kluster Benteng LD. – BERNAMA